
Meskipun Bersatu sudah menamakan presidennya, Muhyiddin Yassin, sebagai calon perdana menteri Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), PAS menegaskan ia tidak terburu-buru untuk membuat keputusan.
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Idris Ahmad, berkata keutamaan parti itu ialah memastikan PN mampu memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan Persekutuan.
“PAS tidak taksub dengan jawatan perdana menteri. Dalam parti, kami tidak pernah membincangkan mahu menamakan calon perdana menteri. Fokus kami adalah memperkukuh parti, memastikan kemenangan dan mempunyai bilangan kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Isu calon perdana menteri PN sering menjadi pertikaian dalam kalangan komponen. Pada November lalu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, menafikan bahawa Muhyiddin telah disahkan sebagai calon rasmi PN, sambil menegaskan PAS juga boleh mengetuai gabungan itu.
Namun, beberapa pemimpin Bersatu dan Gerakan menyatakan sokongan kepada Muhyiddin. Pada hujung minggu lalu, Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu sebulat suara meluluskan Muhyiddin sebagai calon PM PRU16. Susulan itu, Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengingatkan Bersatu supaya tidak gopoh dalam membuat keputusan politik penting.
Sementara itu, Idris berkata PAS terbuka bekerjasama dengan parti lain seperti Umno, PKR dan Amanah, tetapi menolak sebarang kerjasama dengan DAP.
“Mungkin Umno tidak selesa dengan Bersatu kerana bekas pemimpinnya kini berada di sana. Mereka menuduh kita tidak suka Amanah, tetapi itu tidak benar. Kita juga tiada masalah dengan PKR, dengan syarat mereka meninggalkan DAP. Amanah juga sama, mesti meninggalkan DAP. Yang penting ialah persoalan ini: untuk apa kita berjuang?” katanya.
Pada tahun 2023, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pernah menyatakan parti itu sedia bekerjasama dengan pihak lain tetapi akan menarik diri jika kerjasama bercanggah dengan prinsip dan strateginya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.