
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak membenarkan penganjuran Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadualkan berlangsung di hadapan pusat beli-belah Sogo hari ini berikutan kebimbangan terhadap keselamatan awam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata keputusan tersebut dibuat selepas pihaknya menjalankan risikan keselamatan serta meneliti maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan.
Pihak polis menerima surat pemakluman daripada penyelaras GARAH pada 3 Februari lalu berhubung hasrat mengadakan perhimpunan aman tersebut pada 7 Februari bermula jam 8 malam.
Menurut Fadil, pada 6 Februari, polis menerima beberapa surat bantahan daripada pemilik Kompleks Sogo, Pertama Kompleks, Harisons serta beberapa premis perniagaan lain yang bimbang terhadap keselamatan pelanggan mereka.
Maklumat risikan mendapati terdapat kemungkinan berlaku gangguan ketenteraman awam dan ancaman keselamatan kepada masyarakat setempat sekiranya perhimpunan itu diteruskan.
Risiko tersebut dijangka lebih tinggi memandangkan kawasan berkenaan kini dipenuhi orang ramai yang datang membeli-belah sempena sambutan perayaan.
Hasil pertimbangan menyeluruh mendapati perhimpunan itu berpotensi mendatangkan kemudaratan kepada orang awam, maka polis memutuskan untuk tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan ini.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak menghadirkan diri ke lokasi tersebut dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan.
Himpunan tersebut sebelum ini dilaporkan bertujuan menyuarakan kebimbangan terhadap pembinaan rumah anutan haram dengan penyertaan 141 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.