
Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi hari ini mendakwa bekas Naib Presiden MCA Ti Lian Ker antara tokoh yang mendorong MCA untuk keluar daripada gabungan Barisan Nasional (BN).
Puad berkata terdapat beberapa pemimpin MCA yang giat menyuarakan cadangan untuk keluar BN, termasuk Ti, yang didakwa mempunyai agenda peribadi khususnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Dengan BN bekerjasama dengan DAP, peluangnya untuk bertanding sudah tiada. Namun, jika mendapat sokongan penuh PAS, peluangnya untuk menang lebih tinggi,” kata Puad di Facebook.
“Dia nampak yakin PAS sanggup mengetepikan Gerakan dan memilih MCA yang lebih tersusun.”
Ti, kini Ketua MCA Bahagian Kuantan, pernah berkhidmat sebagai ADUN selama tiga penggal dari 1995 hingga 2008. Beliau tidak bertanding pada PRU15 walaupun ditawarkan kerusi Indera Mahkota, sebaliknya menyatakan minat untuk bertanding di Raub atau Kuantan.
Semalam, Ti berkata MCA perlu membuat keputusan sama ada kekal atau keluar BN berikutan hubungan semakin rapat antara Umno dan DAP.
Dalam responnya, Ti menafikan mempunyai sebarang cita-cita jawatan atau politik, dan menegaskan kenyataannya dibuat demi keadilan.
“Kenyataan saya bahawa BN adalah ‘tempurung kosong menunggu dipecahkan’ adalah dalam konteks membantah DAP, bukannya Umno atau BN. Jika Umno-DAP bergabung, ia isyarat DAP akan menggantikan MCA dan MIC, menjadikan BN tempurung kosong. Adakah Puad mahu BN diganti dengan ‘UmDAP’?” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.