
Kremlin mengumumkan pada Khamis bahawa satu sidang kemuncak antara Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden AS, Donald Trump dijangka berlangsung dalam beberapa hari lagi, namun Putin pada dasarnya menolak penglibatan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.
Putin menyebut Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai lokasi berpotensi, tetapi Washington belum mengesahkannya. Zelensky menegaskan beliau perlu terlibat dalam apa-apa rundingan yang melibatkan Ukraine.
Jika sidang ini menjadi kenyataan, ia akan menjadi pertemuan pertama antara presiden AS dan Rusia yang sedang berkhidmat sejak pertemuan Biden dan Putin di Geneva pada Jun 2021.
Trump yang kembali ke Rumah Putih pada Januari telah berusaha menamatkan serangan ketenteraan Rusia ke atas Ukraine. Namun, tiga pusingan rundingan langsung antara Rusia dan Ukraine di Istanbul masih gagal mencapai persetujuan gencatan senjata kerana perbezaan pendirian kedua-dua pihak.
Trump menyatakan pada Rabu bahawa beliau mungkin bertemu Putin “dalam masa terdekat”. Pertemuan terakhir mereka adalah semasa sidang kemuncak G20 di Jepun pada 2019. Sejak kembali ke jawatan, Trump dan Putin telah beberapa kali berhubung melalui telefon.
“Dua-dua pihak menunjukkan minat,” kata Putin kepada media sambil berdiri bersama Presiden UAE, Mohamed bin Zayed Al Nahyan.
“Kami mempunyai ramai rakan yang sedia membantu menganjurkan acara seperti ini. Presiden UAE adalah salah seorang daripadanya,” katanya.
Penasihat Kremlin, Yuri Ushakov berkata minggu depan disasarkan sebagai tarikh pertemuan, dan kedua-dua pihak telah bersetuju secara prinsip mengenai lokasi, walaupun tidak dinamakan secara rasmi.
Bagaimanapun, White House kemudian menafikan lokasi dan tarikh telah ditetapkan, dengan menyatakan “tiada lokasi yang telah ditentukan,” walaupun mengakui pertemuan itu “mungkin berlaku seawal minggu depan.”
Sejak serangan Rusia ke atas Ukraine bermula pada Februari 2022, puluhan ribu nyawa telah terkorban dan jutaan kehilangan tempat tinggal, terutama di wilayah timur dan selatan.
Putin terus menolak seruan antarabangsa untuk gencatan senjata meskipun ditekan oleh AS, Eropah dan Kyiv.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.