
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima pelbagai penghargaan daripada rakyat Kemboja di media sosial susulan pemeteraian Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja semalam.
Ucapan itu, yang dimuatkan di halaman rasmi Facebook Anwar serta laman Pejabat Perdana Menteri (PMO Malaysia), menzahirkan terima kasih atas peranan Malaysia memudah cara perjanjian bersejarah bagi memulihkan kestabilan dan kepercayaan di sempadan Thai–Kemboja.
“Ribuan terima kasih atas kerja keras anda membantu kami (Many thanks for your hardwork in helping us),” tulis pengguna Facebook Keo Dalis. Seorang lagi pengguna berkata, “Terima kasih banyak kerana menganjurkan perjanjian damai (Thank you very much for organising the peace deal),” manakala seorang pengguna menulis, “Saya salah seorang rakyat Kemboja. Terima kasih banyak atas kebaikan anda kerana sentiasa membantu dan menyokong Kemboja dalam mencari keamanan.”
Pesanan penghargaan terus diterima sepanjang hari, dengan ramai menggambarkan perjanjian itu sebagai bab baharu keharmonian serantau. Pengguna Malaysia turut memuji kepimpinan Anwar, antaranya komen: “Ramai member aku yang Kemboja dan Thai ‘like’ bila aku share pasal ni hari ini. tahniah, PMX,” serta doa agar perjanjian membawa “manfaat kepada ummah dan negara tercinta”.
Menurut Bernama, perjanjian itu ditandatangani di pinggir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan menjadi langkah penting memulihkan kepercayaan dua hala selepas ketegangan berlarutan. Malaysia selaku pengerusi sidang memainkan peranan sebagai pemudah cara rundingan.
Dalam hantaran sama, Anwar menyifatkan majlis itu sebagai “detik bersejarah”, dengan menyatakan pencapaian tersebut menzahirkan kejayaan diplomasi ASEAN dan kesinambungan gencatan senjata yang dimuktamadkan di Putrajaya pada 28 Julai.
Beliau turut merakam penghargaan kepada rakan serantau dan antarabangsa, termasuk Donald Trump, yang keterlibatannya menggalakkan pemimpin Kemboja dan Thailand bergerak ke arah rekonsiliasi. Beliau menegaskan keperluan memperluas agenda keamanan ke wilayah bergolak lain, khususnya Gaza, agar keadilan dan peri kemanusiaan kembali menjadi teras ketertiban global.
“Perjanjian ini membuktikan suara ASEAN semakin signifikan sebagai jambatan keamanan, serta membuktikan pendekatan kesederhanaan dan dialog mampu menyelesaikan pertikaian paling mencabar,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.