
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Razman Zakaria, menyifatkan rombakan Kabinet melibatkan pertukaran Menteri Wilayah kepada DAP hanya membolehkan parti itu melaksanakan agenda politiknya.
Razman atau dikenali sebagai Pak Teh berkata, pihaknya melihat agenda berkenaan terus berjalan, khususnya dalam usaha merasionalkan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan (PBT) yang menjadi cita-cita DAP.
“Sekarang dia mula dengan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur,” kata beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak dalam satu video di media sosial miliknya.
Menurut beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Badan Bukan Kerajaan (NGO) PAS Pusat, pelaksanaan pemilihan itu akan melibatkan pengundi dalam kalangan penyokong DAP, sekali gus disifatkannya sebagai satu bentuk ‘penjajahan baharu’ oleh parti berkenaan.
“Sebab itu yang Pak Teh kata kena kuasa politik ini berada di tangan kaum majoriti yang berada dalam negara kita ini. Dan kita tengok natijah DAP ini, perjuangan DAP ini tidak pernah luntur,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa DAP terus mara menggunakan pelbagai pendekatan untuk mencapai cita-cita mereka dan menguasai pentadbiran dalam negara.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) daripada DAP, Hannah Yeoh dilaporkan media tempatan berkata kajian sedang dijalankan berhubung pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Ia susulan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 bagi meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.