
Ribuan orang membanjiri dataran Harbour Mall di Sandakan malam tadi bagi menuntut keadilan untuk Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13 tahun.
Orang ramai mula hadir seawal jam 7 malam sambil membawa plakad dan sepanduk tanda sokongan, manakala polis berada di lokasi bagi mengawal keadaan.
Acara selama lebih dua jam itu menampilkan bacaan puisi, ucapan dan doa untuk Allahyarhamah Zara Qairina.
Wakil Sekretariat Solidariti Zara, Mohamad Kadir Abdul Jalil berkata, vigil itu sebagai tanda solidariti dan simpati terhadap keluarga Zara, di samping mendesak pendedahan kebenaran di sebalik kejadian.
“Kami menggesa rakan-rakan dan orang ramai supaya tidak membuat kenyataan berunsur fitnah atau tidak wajar mengenai kes ini. Serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
“Kami tidak menyangka mendapat sokongan sebegini ramai. Terima kasih warga Sandakan,” katanya.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee dan ADUN Elopura Calvin Chong Ket Kiun.
Pengerusi Masjid Wasatiyyah Batu Sapi, Muhamad Zarif Samsudin berkata, kehadirannya adalah untuk menunjukkan sokongan dan mendesak siasatan rapi dijalankan.
“Kita juga lihat banyak maklumat tidak tepat tersebar. Serahkan kepada polis dan pihak berkuasa untuk siasat,” katanya.
Selain di Sandakan, vigil serupa turut diadakan di Tawau dan Lahad Datu.
Pada 16 Julai lalu, Zara yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di Papar dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah dan ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekitar jam 4 pagi. Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.