
Pengakap berarak di Bethlehem pada Rabu di bawah langit cerah, apabila bandar Palestin di Tebing Barat yang diduduki kembali menyambut Krismas secara lebih meriah buat kali pertama selepas lebih dua tahun, selepas sebelum ini dibayangi perang di Gaza.
Sepanjang perang Gaza yang bermula susulan serangan Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023, suasana Krismas di Bethlehem digambarkan suram.
Pada Rabu, sambutan kembali rancak ketika gencatan senjata di Gaza kekal dalam keadaan rapuh, dengan ratusan ribu orang masih menghadapi musim sejuk di khemah sementara.
Menurut laporan AFP, di Bethlehem, bunyi gendang dan bagpipe mengalunkan lagu Krismas ketika penganut Kristian menuju ke Manger Square.
Seorang ahli pengakap, Milagros Anstas, 17, berkata hari itu “penuh kegembiraan” selepas perang menghalang sambutan sebelum ini.
Orang ramai memenuhi Manger Square berhampiran pokok Krismas besar bersebelahan Church of the Nativity, sebuah basilika abad keempat yang dibina di atas grotto yang dipercayai tempat kelahiran Jesus.
Ahli pengakap, Katiab Amaya, 18, berkata sambutan yang kembali meriah melambangkan kehadiran komuniti Kristian dan memberi harapan, termasuk kepada penduduk di Gaza.
Latin Patriarch Jerusalem, Cardinal Pierbattista Pizzaballa, tiba di Bethlehem dan dijadualkan memimpin Misa Tengah Malam tradisional di Church of the Nativity. Beliau juga dilaporkan melawat Gaza pada hujung minggu dan memimpin Misa Krismas di Holy Family Parish, Gaza City pada Ahad.
Penduduk Bethlehem berharap kembalinya sambutan Krismas dapat menghidupkan semula pelancongan, yang menjadi nadi ekonomi bandar itu, selepas perang menyebabkan pengunjung berkurangan dan pengangguran meningkat. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, jemaah ziarah Kristian dilaporkan mula kembali secara perlahan.
Di Vatican, Pope Leo XIV dijadualkan menyampaikan Misa Krismas pertamanya pada 20:30 GMT di Saint Peter’s Basilica selepas menyeru “24 jam keamanan di seluruh dunia”. Pope kelahiran Amerika itu dipilih pada Mei selepas kematian Pope Francis.
Di peringkat global, keluarga mula berkumpul untuk Malam Krismas, sementara kanak-kanak menanti hadiah. Flightradar24 turut menghidupkan semula tradisi penjejak Santa secara langsung. Di Australia, Perdana Menteri Anthony Albanese menyampaikan mesej lebih suram susulan serangan terhadap sambutan Hanukkah di Bondi Beach.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.