
Kod pakaian di balai polis dan beberapa pejabat hadapan kerajaan akan disemak semula dalam masa terdekat, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim berpendapat tiada apa yang sepatutnya menghalang sesiapa daripada membuat laporan polis.
“Oleh itu, Ketua Setiausaha Negara (Shamsul Azri Abu Bakar) akan menyemak semula pekeliling 2020 dan membuat penambahbaikan susulan keputusan Jemaah Menteri hari ini, supaya perkhidmatan hadapan tertentu seperti kesihatan dan keselamatan, termasuk balai polis, diberikan pengecualian di bawah pekeliling tersebut.
“Perkara ini akan diteliti dengan berhati-hati oleh Ketua Setiausaha Negara dan pejabatnya. Kenyataan baharu dan pekeliling yang dikemas kini boleh dijangka dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di Parlimen selepas mesyuarat Kabinet.
Pengumuman itu dibuat selepas timbul kecaman orang ramai berhubung kejadian seorang wanita didakwa dihalang memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin pada Isnin kerana pakaian dianggap tidak sesuai untuk premis kerajaan. Wanita itu dikatakan memakai skirt sedikit atas paras lutut.
Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar sebelum itu mengingatkan orang ramai supaya mematuhi kod pakaian rasmi ketika berurusan di mana-mana kaunter aduan.
Beliau berkata garis panduan tersebut digariskan dalam pekeliling Ketua Setiausaha Negara bagi meningkatkan hubungan pelanggan di agensi sektor awam, namun pengecualian dibenarkan dalam kecemasan atau situasi yang memerlukan tindakan segera polis.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.