
Banduan hukuman mati warga Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman dijadual dihukum mati jam 6 pagi hari ini di Singapura.
Pengesahan itu datang daripada peguamnya, N. Surendran, seperti yang dilaporkan oleh New Straits Times.
Sebelum ini, Amnesty International Malaysia menyatakan rayuan terakhir untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mati terhadapPannir Selvam, telah ditolak oleh kerajaan Singapura,.
“Kami baru menerima pengesahan bahawa rayuannya telah ditolak. Ini bermakna hukuman mati berkemungkinan besar akan dilaksanakan esok,” kata jurukempen Qistina Johari ketika ditemui di luar Suruhanjaya Tinggi Singapura semalam.
Hampir 100 orang hadir dalam aksi vigil bagi menyeru kerajaan Singapura agar menghentikan hukuman mati itu dan menunjukkan belas kasihan.
Pannir, 36, disabitkan kesalahan pada 2014 kerana menyeludup 51.84 gram diamorfin melalui pusat pemeriksaan Woodlands dan dijatuhkan hukuman mati.
Terdahulu, New Straits Times melaporkan peguamnya, Too Xing Ji, memohon penangguhan hukuman atas alasan Pejabat Peguam Negara Singapura perlu menimbang semula pemberian sijil bantuan substantif, selepas Pannir membantu polis Malaysia membongkar rangkaian pengedaran dadah di sempadan Johor–Singapura.
Qistina berkata Amnesty International Malaysia telah lama menentang hukuman mati dan kerap menganjurkan aksi vigil bagi meningkatkan kesedaran awam.
“Kami juga baru menganjurkan vigil untuk K. Datchinamurthy minggu lepas. Matlamat kami ialah memberi tekanan kepada kerajaan Singapura dan menyedarkan rakyat Malaysia bahawa hukuman mati bukanlah penyelesaian,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun Pannir memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, beliau tidak diberikan sijil bantuan substantif yang boleh menyelamatkan nyawanya.
“Kes ini mencerminkan isu hak asasi manusia yang lebih luas. Cara Singapura melaksanakan hukuman mati adalah tidak berperikemanusiaan dan menafikan maruah individu yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, peguam hak asasi manusia N. Surendran turut mengecam dasar hukuman mati Singapura.
“Hukuman ini tidak membawa sebarang manfaat. Hanya pengedar kecil dihukum, manakala dalang utama terlepas. Ia satu amalan kejam yang tidak memberi apa-apa hasil,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.