
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Bahagian Perisikan bersama Pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan di selatan tanah air yang dipercayai dikendalikan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Operasi ini dikenali sebagai Ops Sohor.
Menurut sumber, lima pegawai kanan bahagian perisikan ATM termasuk dua bekas anggota, serta lima orang awam termasuk seorang wanita warga Indonesia berusia 30 hingga 55 tahun, ditahan di sekitar Lembah Klang bermula jam 6.30 pagi tadi.
Pegawai terbabit yang sepatutnya memantau aktiviti penyeludupan, disyaki bersekongkol dengan sindiket selama lima tahun, menerima rasuah melebihi RM3 juta. Siasatan awal mendapati mereka membocorkan maklumat operasi ketenteraan, membolehkan barangan larangan seperti dadah, rokok dan lain-lain masuk dari negara jiran, dengan nilai kira-kira RM5 juta sebulan. Setiap perjalanan penyeludupan dianggarkan memberi rasuah RM30,000 hingga RM50,000.
Serbuan turut merampas wang tunai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dadah, alat penimbang, minuman keras, dan senjata tiruan.
Seorang wanita Indonesia tanpa dokumen sah yang dipercayai teman wanita kepada salah seorang pegawai kanan turut ditahan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman.
Beliau menegaskan aktiviti penyeludupan ini memberi ancaman kepada keselamatan negara walaupun terdapat pelbagai agensi pemantauan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.