
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan hampir RM300 juta dana pelaburan yang dikutip daripada kira-kira 1,700 pelabur antara 2021 hingga 2024.
Siasatan awal mendapati dana tersebut kononnya dikumpulkan bagi tujuan pelaburan melibatkan dua syarikat, namun semakan menunjukkan wang berkenaan dipercayai telah diseleweng dan dibelanjakan tidak mengikut perjanjian dengan pelabur.
Susulan itu, SPRM menahan dua individu bagi membantu siasatan serta menjalankan penggeledahan di lima premis sekitar Lembah Klang pada 21 dan 22 Januari.
Menurut sumber, siasatan turut meneliti peranan seorang individu berpengaruh yang disyaki menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk menarik minat pelabur menyertai skim berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan siasatan kini memfokuskan kepada penjejakan aliran kewangan yang dipercayai diseleweng bagi tujuan pemulihan aset.
Beliau berkata, proses itu melibatkan kepakaran Bahagian Analisis Kewangan SPRM dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram bagi mengenal pasti pergerakan dana serta pihak terlibat.
“Setakat ini, sebanyak 14 akaun milik individu dan syarikat telah dibekukan, dan SPRM masih menunggu maklum balas institusi perbankan berhubung baki akaun terbabit,” katanya.
Beliau menambah, SPRM tidak menolak kemungkinan lebih banyak akaun akan dibekukan selepas proses penjejakan aliran wang selesai.
SPRM menegaskan siasatan akan dijalankan secara profesional dan tegas kerana kes berkenaan melibatkan jumlah wang yang besar serta kepentingan awam.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.