
Lebih 100 penghuni dua blok pangsapuri kos rendah di Taman United, Seputeh, Kuala Lumpur diarahkan berpindah selepas berlaku pergerakan tanah susulan kejadian tanah runtuh di cerun berhampiran pagi tadi, selepas hujan berterusan sejak awal pagi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 11.02 pagi berhubung kejadian tanah runtuh di cerun sepanjang Jalan Sepadu 6, sebelum mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh ke lokasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh, Penolong Penguasa Bomba Kanan II Armdan Mahat berkata, kejadian membabitkan cerun runtuh sepanjang kira-kira 60 meter yang menghempap dua buah kereta dan beberapa motosikal. Satu kenderaan tertimbus manakala satu lagi terbalik akibat runtuhan tanah.
Beliau berkata, runtuhan tanah itu telah memasuki kawasan pekarangan pangsapuri kos rendah berkenaan. Selepas perbincangan dengan wakil pejabat Parlimen Seputeh dan jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dua blok kediaman yang mengandungi 104 unit bersama beberapa premis berhampiran telah diarahkan dikosongkan berikutan pergerakan tanah yang masih berterusan serta hujan lebat.
Tambahnya, setakat ini tiada mangsa cedera dilaporkan. Anggota bomba dan penyelamat masih berada di lokasi bagi memantau pergerakan tanah dan memastikan keselamatan penduduk.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.