
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa memaklumkan ia akan mengenakan tarif ke atas import semikonduktor dari China, dengan alasan usaha Beijing mengejar dominasi industri cip adalah “tidak munasabah”, namun tindakan itu akan ditangguh sehingga Jun 2027.
Kadar tarif akan diumumkan sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal, menurut pemfailan yang menyusuli siasatan “Seksyen 301” selama setahun berhubung amalan perdagangan tidak adil melibatkan eksport cip “legacy” atau cip teknologi lama dari China ke AS, yang dilancarkan ketika pentadbiran bekas Presiden Joe Biden.
Wakil Perdagangan AS (USTR) dalam kenyataan berkata, penumpuan China untuk menguasai industri semikonduktor adalah “tidak munasabah” dan membebankan atau menyekat perdagangan AS, sekali gus membolehkan tindakan diambil.
Kedutaan China di Washington menyatakan bantahan terhadap sebarang tarif. Dalam kenyataan kepada Reuters, ia berkata mempolitikkan, memperalat dan mempersenjatai isu perdagangan serta teknologi, selain menggugat rantaian industri dan bekalan global, tidak akan menguntungkan sesiapa dan akhirnya akan memakan diri; China juga menegaskan akan mengambil semua langkah yang perlu bagi mempertahankan hak dan kepentingan sahnya.
Langkah itu mengekalkan keupayaan Trump untuk mengenakan duti pada masa depan, sambil cuba meredakan ketegangan dengan Beijing ketika China melaksanakan sekatan eksport terhadap logam nadir bumi yang diperlukan syarikat teknologi global dan yang dikuasai China.
Sebagai sebahagian rundingan dengan China untuk melengahkan sekatan tersebut, Washington turut menangguhkan satu peraturan yang akan mengehadkan eksport teknologi AS kepada unit yang berkaitan dengan syarikat China yang sudah disenaraihitamkan.
AS juga melancarkan satu semakan yang berpotensi membolehkan penghantaran pertama cip AI kedua paling berkuasa Nvidia ke China, lapor Reuters, walaupun wujud kebimbangan serius dalam kalangan pengkritik China di AS yang bimbang cip itu boleh memperkukuh keupayaan ketenteraan China.
Industri cip turut menunggu keputusan pentadbiran mengenai siasatan tarif yang lebih luas terhadap import cip global.
Siasatan berasingan di bawah peruntukan keselamatan negara “Seksyen 232” berpotensi mengenakan lebih banyak tarif ke atas semikonduktor China serta pelbagai peranti elektronik yang mengandungi cip dari semua negara. Namun Reuters melaporkan pegawai AS secara peribadi menyatakan tarif tersebut mungkin tidak akan dikenakan dalam masa terdekat.
Biden sebelum ini telah mengenakan tarif tambahan 50% ke atas semikonduktor China yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.