
Thailand dan Kemboja hari ini menandatangani perjanjian damai bersama bagi mengekalkan gencatan senjata di sepanjang sempadan kedua-dua negara, dalam majlis yang disaksikan oleh Amerika Syarikat dan Malaysia selaku pengerusi ASEAN.
Perjanjian yang dinamakan “Perjanjian Kuala Lumpur” itu menetapkan kedua-dua pihak menghentikan segera segala bentuk pertempuran, menarik balik senjata berat dari zon konflik serta memulakan operasi pelucutan ranjau bersama.
Ia turut memperuntukkan pembebasan 18 tahanan perang Kemboja serta penempatan pemerhati ASEAN, termasuk dari Malaysia, bagi memantau pelaksanaan gencatan senjata.
Ketegangan antara kedua-dua negara meningkat pada Julai lalu, menyebabkan pertempuran paling dahsyat dalam beberapa dekad yang mengorbankan lebih 40 orang dan memaksa kira-kira 300,000 penduduk berpindah.
Presiden AS Donald Trump menyifatkan perjanjian itu sebagai “hari bersejarah bagi seluruh rakyat Asia Tenggara” sambil memuji “kepimpinan berani” Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul.
Beliau turut memuji peranan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim selaku pengerusi ASEAN yang menyediakan “tempat neutral” untuk rundingan damai.
Trump berkata terdapat “banyak panggilan telefon antara kami berempat” selepas insiden berdarah pada Julai lalu dan menegaskan pentadbirannya berjaya “menghentikan konflik tersebut”.
Anwar yang menjadi tuan rumah majlis itu mengucapkan terima kasih kepada Trump atas “ketabahan dan keberanian” beliau dalam menyokong proses damai.
“Terima kasih, kami menghargai komitmen anda. Dunia memerlukan pemimpin yang berani memperjuangkan keamanan,” katanya.
Hun Manet dan Anutin turut menyampaikan penghargaan kepada Trump atas dedikasi peribadinya, dengan pemimpin Kemboja itu mengesahkan beliau telah menamakan Trump sebagai calon Hadiah Keamanan Nobel bagi peranannya dalam rundingan tersebut.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.