
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau telah mencapai persetujuan dengan Presiden China Xi Jinping untuk membenarkan gergasi cip AS, Nvidia, mengeksport cip kecerdasan buatan (AI) H200 ke China di bawah syarat tertentu, sekali gus mengubah ketara dasar eksport era Biden.
Pentadbiran Joe Biden sebelum ini mengenakan sekatan ketat terhadap eksport cip AI berprestasi tinggi atas kebimbangan ia digunakan bagi tujuan ketenteraan China, dan memaksa syarikat menghasilkan versi “degradasi” khusus untuk pasaran China.
Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump berkata beliau memaklumkan Xi bahawa Washington akan membenarkan Nvidia menghantar produk H200 kepada “pelanggan diluluskan di China, dan negara lain, di bawah syarat yang mengekalkan keselamatan negara yang kukuh.”
“Presiden Xi memberi respons positif! 25 peratus akan dibayar kepada Amerika Syarikat,” tulisnya, tanpa menjelaskan mekanisme pembayaran itu.
Trump mengkritik pendekatan terdahulu yang menurutnya memaksa “syarikat-syarikat besar AS membelanjakan berbilion dolar membina produk degradasi yang tiada siapa mahu,” sekali gus memperlahankan inovasi dan menjejaskan pekerja Amerika.
Di bawah sekatan era Biden, H200 dan cip sekelas dengannya dihalang daripada dieksport ke China, dan syarikat hanya boleh menjual varian lebih perlahan dengan keupayaan terhad.
Nvidia menyambut baik perubahan dasar itu. “Kami mengalu-alukan keputusan Presiden Trump untuk membenarkan industri cip Amerika bersaing, menyokong pekerjaan bergaji tinggi dan pembuatan di Amerika,” kata jurucakap syarikat itu kepada AFP.
Menjual H200 kepada pelanggan komersial yang diluluskan dan disemak Jabatan Perdagangan AS disifatkan sebagai “imbangan yang baik dan menguntungkan Amerika.”
Trump berkata keputusan itu bertujuan “menyokong pekerjaan rakyat Amerika, mengukuhkan pembuatan dalam negara dan memberi manfaat kepada pembayar cukai,” sambil menegaskan cip tercanggih Nvidia, siri Blackwell dan pemproses Rubin akan datang, tidak termasuk dalam perjanjian dan kekal untuk pelanggan di AS sahaja. H200 pula dianggarkan sekitar 18 bulan di belakang barisan produk termaju syarikat.
Cip berkenaan ialah unit pemprosesan grafik (GPU) yang digunakan untuk melatih model AI generatif, yang memacu ledakan industri sejak pelancaran ChatGPT pada 2022.
Jabatan Perdagangan kini memuktamadkan butiran pelaksanaan, dengan Trump berkata pendekatan sama akan terpakai kepada AMD, Intel dan “syarikat-syarikat hebat AS” lain.
Pengumuman itu dibuat ketika ketegangan perdagangan dan teknologi antara Washington dan Beijing berlarutan, dengan kedua-dua pihak bersaing untuk menguasai teknologi AI.
Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, dilaporkan telah melobi White House secara agresif bagi melonggarkan dasar era Biden, walaupun terdapat tentangan kuat di Washington terhadap pemberian akses cip lebih berkuasa kepada syarikat China.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.