
Umno tidak pernah mengorbankan prinsip teras atau perjuangannya untuk orang Melayu dan Islam demi DAP dalam kerajaan perpaduan, kata Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau mencabar pengkritik mengemukakan bukti bahawa Umno membenarkan kedudukan Islam, bahasa Melayu dan kepentingan Bumiputera terhakis.
“Setakat ini tidak ada satu pun contoh menunjukkan Umno ‘mengalah’ atau ‘memberi laluan’ kepada DAP dengan mengorbankan prinsip teras kami,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia.
Asyraf berkata Umno berjaya menentang cadangan DAP mengenai pilihan raya tempatan serta pelantikan pakar bukan Islam ke dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah. Kedua-dua cadangan itu tidak menjadi kenyataan selepas campur tangan Umno.
Beliau turut merujuk penolakan Umno terhadap cadangan timbalan pengerusi DAP, Nga Kor Ming, untuk menamakan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.
“Kami membantah kerana pengiktirafan itu akan memberi implikasi kepada orang Melayu. Disebabkan pendirian Umno, perkara itu tidak pernah dibawa ke kabinet,” katanya.
Beliau berkata Umno juga menentang Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar, menyebabkan ia ditangguhkan untuk pindaan. Katanya, ini membuktikan peranan Umno sebagai pembela utama kepentingan Melayu dan Islam dalam pentadbiran.
Tambahnya, tiada parti berani mencabar dasar negara berkaitan kepentingan Bumiputera, termasuk dasar melibatkan tahfiz dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Dasar TVET Kebangsaan sahaja dijangka memberi manfaat kepada 250,000 pelajar, majoritinya Bumiputera.
Asyraf yang juga pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkata, bajet agensi itu kini melebihi RM4.1 bilion, lebih besar daripada beberapa kerajaan negeri.
Beliau berkata menteri-menteri Umno kekal lantang dalam mesyuarat kabinet dengan meneliti setiap kertas untuk menilai kesan dasar terhadap Islam dan komuniti Bumiputera.
“Inilah perjuangan Umno,” katanya, sambil menambah bahawa parti itu masih diberi kepercayaan dan menguasai kementerian serta agensi strategik termasuk pembangunan luar bandar dan wilayah, pertahanan dan pendidikan tinggi, serta Mara, Felda dan Felcra.
Mengenai masa depan politik parti, Asyraf berkata Umno komited menyokong kerajaan perpaduan demi kestabilan negara sehingga Pilihan Raya Umum ke-16.
“Selepas itu, tiada siapa boleh menghalang Umno dan Barisan Nasional daripada bekerjasama dengan mana-mana parti. Itu jelas. Sekarang bukan musim pilihan raya, dan kita tidak berada dalam keadaan perlu membuat keputusan sekarang,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.