
Tiga remaja masing-masing berusia 19, 18 dan 14 tahun yang ditahan pada Selasa bagi membantu siasatan berhubung video tular memberikan nasi bersama tulang ayam kepada gelandangan, telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, ketiga-tiganya berasal dari Johor Bahru tetapi kejadian berlaku di Seremban. Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Video itu menunjukkan mereka makan di restoran makanan segera sebelum memasukkan tulang ayam ke dalam bungkusan nasi dan memberikannya kepada seorang gelandangan yang sedang tidur di kaki lima. Lelaki tersebut kelihatan terkejut tetapi mengucapkan terima kasih.
Tindakan mereka menerima kecaman hebat daripada netizen. Ketiga-tiganya kemudian memohon maaf dan mendakwa lelaki berkenaan telah dimaklumkan serta bersetuju untuk dirakam. Mereka turut menyatakan telah memberikan makanan sebenar terlebih dahulu.
Pada 5 Ogos, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan telah merakam keterangan mereka di Ibu Pejabat Polis Iskandar Puteri. MCMC turut merampas tiga telefon bimbit dan kad SIM.
SKMM menyifatkan video itu sebagai sangat menghina dan menyentuh isu sensitif yang memerlukan siasatan lanjut.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.