
Bekas eksekutif PetroSaudi dan pemberi maklumat kes 1MDB, Xavier Andre Justo, menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Datuk Seri Najib Razak sebagai bukti bahawa keadilan akhirnya ditegakkan.
Menerusi hantaran di media sosial, Justo meluahkan rasa syukurnya dengan berkata: “Hari ini adalah hari yang sangat bermakna bagi saya. Saya amat berterima kasih atas keadilan, kebebasan dan keberanian hakim serta pendakwa raya Malaysia dalam kes ini.”
Justo, warga Switzerland, merupakan individu penting yang membocorkan maklumat mengenai penyelewengan berbilion ringgit dana 1MDB antara 2009 hingga 2011. Beliau menegaskan bahawa hukuman tersebut menghantar mesej jelas bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang, tanpa mengira kuasa yang pernah dimiliki.
“Fikiran saya bersama para mangsa iaitu rakyat Malaysia yang menderita ketika wang dicuri dalam skala besar. Berbilion telah dijarah, wang yang sepatutnya membawa perubahan kepada hospital, sekolah dan kerja awam,” katanya lagi.
Beliau turut menyentuh pengorbanan peribadinya, di mana beliau pernah ditahan di Thailand pada 2015 dan dipenjarakan lebih setahun sebelum dibebaskan. Bagi Justo, keputusan mahkamah ini adalah kemuncak kepada bertahun-tahun kerja keras dan ketabahan beliau berpegang kepada kebenaran walaupun terpaksa membayar harga yang mahal.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.