
Sasaran Parti Amanah Negara untuk bertanding sehingga 30 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 dilihat sebagai usaha memposisikan parti itu sebagai parti Melayu-Islam yang lebih berpengaruh, menurut penganalisis politik.
Hisommudin Bakar berkata dalam dua pilihan raya umum lalu, Amanah kebanyakannya menguasai kawasan bandar dan separa bandar yang mempunyai komposisi pengundi pelbagai kaum serta tahap sokongan bukan Melayu yang relatif tinggi.
Pengarah eksekutif Ilham Centre itu berkata kemenangan Amanah juga banyak bergantung kepada pengundi bukan Melayu yang menyokong Pakatan Harapan secara keseluruhan.
Amanah mahu kukuhkan pengaruh di kerusi majoriti Melayu
Menurut beliau, parti berkenaan mungkin berhasrat mengubah keadaan tersebut pada PRU16, namun langkah itu memerlukan pengukuhan organisasi serta peningkatan pengaruh bagi membolehkan Amanah bersaing secara langsung di kerusi majoriti Melayu.
“Hasrat Amanah untuk bertanding lebih banyak kerusi boleh dilihat sebagai usaha memposisikan diri sebagai parti Melayu-Islam yang mempunyai pengaruh serta kemampuan bersaing dengan parti Melayu lain.
“Bagaimanapun, Amanah perlu bekerja lebih keras dalam tempoh masa yang berbaki untuk meningkatkan sokongan pengundi,” katanya kepada FMT.
Hisommudin berkata jika usaha tersebut tidak berjaya dilaksanakan, Amanah perlu bersikap realistik dalam menentukan kerusi yang wajar ditandingi berdasarkan kekuatan sebenar parti, termasuk pengaruh, keupayaan jentera dan kualiti calon.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Mujahid Yusof yang sebelum ini menyatakan parti itu menyasarkan untuk bertanding sehingga 30 kerusi Parlimen pada PRU16, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Ketika ini, Amanah diwakili oleh lapan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, iaitu tiga kerusi kurang berbanding pencapaiannya pada PRU14.
Cabaran di Sabah dan Sarawak
Namun Hisommudin berpandangan langkah Amanah untuk bertanding di Borneo berisiko tinggi kerana kebarangkalian untuk mengalami kekalahan adalah lebih besar berbanding di negeri-negeri Semenanjung.
Menurut beliau, jenama Amanah masih belum begitu dikenali oleh pengundi di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, landskap politik di kedua-dua negeri berkenaan lebih dipengaruhi oleh parti tempatan serta sentimen kenegerian.
Pertembungan dengan Umno dijangka berlaku
Sementara itu, Azmi Hassan berkata pertembungan antara Amanah dan Umno berkemungkinan sukar dielakkan sekiranya parti itu benar-benar berhasrat bertanding sebanyak 30 kerusi Parlimen.
Felo Majlis Profesor Negara itu berkata keadaan tersebut berlaku kerana asas penyokong Amanah dan Barisan Nasional atau Umno kebanyakannya terdiri daripada pengundi Melayu.
Beliau merujuk kepada hasrat Barisan Nasional untuk bertanding sebanyak 115 kerusi pada pilihan raya umum akan datang.
“Jadi, pertembungan itu hampir pasti,” katanya.
Namun Azmi yang sependapat dengan Hisommudin berpandangan Amanah seharusnya menumpukan usaha di Semenanjung dan tidak memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, walaupun PAS pernah memenangi kerusi di Sabah, keadaan itu dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa kerana kekuatan PKR dan DAP di negeri Borneo tidak begitu besar.
Beliau berkata Amanah sepatutnya memberi tumpuan kepada kawasan yang mempunyai sokongan Pakatan Harapan yang stabil dan kuat, khususnya di Semenanjung.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.