
Annuar Musa menegaskan beliau tidak berhasrat untuk kembali menyertai Umno walaupun parti lamanya itu menyatakan kesediaan menerima semula bekas ahli tanpa sebarang syarat melalui gagasan Rumah Bangsa.
Bekas setiausaha agung Barisan Nasional yang kini bersama PAS berkata, beliau tidak melihat sebarang sebab untuk meninggalkan parti Islam itu kerana keputusannya menyertai PAS dibuat selepas pertimbangan mendalam berasaskan prinsip perjuangan yang ingin dibawanya, khususnya berkaitan kepentingan orang Melayu dan Islam.
“Saya rasa PAS adalah perjuangan untuk masa depan. Tidak ada sebab bagi saya untuk meninggalkannya,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Jentera Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Selangor.
Menurutnya, keutamaan beliau adalah perjuangan, bukan kedudukan atau tempat dalam mana-mana parti politik. Beliau berkata PAS memberikan ruang yang luas untuk beliau meneruskan perjuangan tersebut dan atas sebab itu beliau bersyukur serta berhasrat untuk terus kekal bersama parti berkenaan.
Tiada ahli Umno dalam PAS mahu kembali
Annuar turut menyatakan keyakinannya bahawa bekas ahli Umno lain yang kini menyertai PAS juga tidak bercadang untuk kembali ke parti lama mereka.
“Setakat yang saya dengar, tidak ada seorang pun yang mahu kembali. Tidak ada seorang pun daripada mereka yang menyatakan hasrat untuk memberi sambutan kepada Rumah Bangsa,” katanya.
Beliau berkata sebelum ini beliau turut menerima pelawaan peribadi daripada beberapa rakan termasuk pemimpin kanan yang mengajaknya menyertai inisiatif Rumah Bangsa.
Kritik kepimpinan Umno
Walaupun menghargai pelawaan tersebut, Annuar mendakwa beliau melihat Umno masih berada di bawah pengaruh individu tertentu dalam menentukan hala tuju parti.
“Saya dapati Umno tidak dikawal oleh prinsip perjuangan dan sehingga sekarang seorang individu yang menentukan hala tuju parti itu,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu berbeza dengan PAS yang menurutnya memberi keutamaan kepada Majlis Syura dalam menentukan dasar dan haluan parti.
Annuar menyertai PAS sejak Jun 2023.
PAS terbuka terhadap gagasan Rumah Bangsa
Mengulas mengenai gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan Umno, Annuar berkata PAS bersikap terbuka terhadap usaha tersebut.
Menurutnya, keterbukaan itu dibuktikan apabila PAS menghadiri pertemuan bersama lapan parti yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Terdahulu, Presiden Umno Zahid Hamidi menyatakan bahawa parti itu membuka pintu Rumah Bangsa seluas-luasnya kepada ahli yang pernah dipecat atau digantung bagi kembali menyertai parti berkenaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.