
Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP mengambil perhatian serius terhadap dakwaan sebuah media asing mengenai kewujudan gejala “mafia korporat” serta dakwaan bahawa institusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digunakan oleh syarikat tertentu bagi mencapai kepentingan peribadi.
Dalam mesyuarat bulanan yang diadakan pada malam 4 Mac 2026, CEC DAP menegaskan bahawa kerajaan perlu menangani isu berkenaan secara berkesan bagi mempertahankan kewibawaan institusi SPRM.
Gesaan penubuhan RCI siasat dakwaan
Menurut kenyataan itu, DAP menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan tersebut.
Siasatan berkenaan juga dicadangkan bagi mengenal pasti serta mencadangkan langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dalam institusi berkenaan.
Kekecewaan terhadap kegagalan RUU had tempoh perdana menteri
CEC DAP turut menyatakan kekecewaan terhadap kegagalan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.
Sehubungan itu, DAP menyeru kerajaan supaya membentangkan semula rang undang-undang tersebut dalam sidang Parlimen akan datang bagi merealisasikan agenda reformasi yang dianggap penting.
Sokong semakan RUU pengasingan peguam negara
Dalam kenyataan sama, DAP menyokong keputusan kerajaan untuk merujuk Rang Undang-Undang Pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Parti itu menyatakan komitmen untuk menambah baik aspek akauntabiliti serta ketelusan dalam proses pelantikan jawatan tersebut melalui wakilnya dalam jawatankuasa berkenaan, iaitu Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
DAP menegaskan parti itu akan terus komited mendokong agenda reformasi institusi dalam kerajaan serta tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.
Parti itu juga menyatakan sokongan penuh terhadap usaha memerangi rasuah.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.