
Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus bagi kadar bayaran tol di seluruh negara sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu melibatkan implikasi kewangan kerajaan sebanyak RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol.
Tempoh pelaksanaan diskaun
Menurutnya, diskaun tersebut akan berkuat kuasa bermula jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac dan berakhir pada jam 11.59 malam, 19 Mac.
Ia melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya di seluruh negara.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura.
Inisiatif lain sempena Aidilfitri
Dalam kenyataan sama, beliau turut mengumumkan bahawa Jabatan Insolvensi akan melaksanakan pelepasan kebankrapan secara ‘fast track’ melibatkan kira-kira 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggal.
Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan beberapa langkah lain termasuk pemberian cuti tambahan sempena Aidilfitri, bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah, serta bantuan khas kewangan kepada penjawat awam, pesara dan veteran tentera.
Seruan berbelanja secara berhemah
Anwar berkata, semua langkah tersebut mencerminkan nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras kerajaan dalam memastikan rakyat terus menikmati manfaat daripada kemakmuran negara.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar terus berbelanja secara berhemah sepanjang menyambut Syawal.