
Ketua Menteri, Hajiji Noor menolak dakwaan mengenai kewujudan mana-mana blok wilayah yang memisahkan Sabah dan Sarawak daripada negeri-negeri di Semenanjung.
Beliau menegaskan bahawa Blok Borneo yang didakwa bertujuan mengawal Semenanjung tidak pernah wujud, malah tiada sebarang blok wilayah diwujudkan di negara ini.
Menurutnya, semua negeri dan wilayah di Malaysia perlu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan negara terus maju dan cemerlang.
Tegaskan Malaysia satu negara
Hajiji berkata tidak wujud sebarang pembahagian blok seperti Blok Borneo, Blok Sabah, Sarawak atau Blok Semenanjung.
“Tiada Blok Borneo, kita dalam Malaysia adalah satu negara. Tiada Blok Borneo, Blok Sabah, Sarawak dan Blok Semenanjung, tiada.
“Jadi, saya ingin nyatakan kita dalam satu negara perlu ada kerjasama semua pihak, negeri dan Persekutuan, negeri dan negeri, jiran-jiran sama-sama cemerlangkan lagi negara Malaysia ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan pelancaran Inisiatif Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) Tahun 2026 di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu.
Respons terhadap dakwaan blok Borneo
Hajiji diminta mengulas mengenai isu Blok Borneo yang menjadi perdebatan selepas Zaid Ibrahim mendakwa blok berkenaan cuba diwujudkan bagi mengawal Semenanjung.
Mengulas perkara lain, beliau berkata kerajaan negeri turut memantau konflik yang sedang berlaku di Asia Barat, khususnya kemungkinan kesannya terhadap harga minyak yang bakal dirasai di Sabah dan Malaysia.
Bantuan SENTOSA kepada pelajar Sabah
Terdahulu, Hajiji menyerahkan bantuan tunai SENTOSA kepada 3,366 pelajar Sabah di Politeknik Kota Kinabalu.
Beliau berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada kira-kira 30,000 penerima bantuan berkenaan tahun ini yang bertujuan membantu meringankan beban kewangan pelajar, khususnya bagi pulang ke kampung ketika musim perayaan.
Menurutnya, SENTOSA adalah antara 14 inisiatif bantuan pendidikan bernilai ratusan juta ringgit yang diwujudkan kerajaan negeri bagi membantu rakyat Sabah melalui sektor pendidikan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.