
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin, mencabar Setiausaha Agung BERSATU, Mohamed Azmin Ali, supaya menafikan dakwaan bahawa beliau kerap mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, beliau menerima maklumat daripada beberapa pihak berhubung pertemuan berkenaan. Menurutnya, seorang Ahli Parlimen BERSATU turut mendakwa anaknya pernah melihat Mohamed Azmin keluar dari pejabat Anwar.
Selain itu, dakwaan sama turut dibangkitkan oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, menerusi media sosial.
Cabaran terbuka agar penjelasan diberikan
Hamzah berkata, pelbagai pihak telah menyampaikan perkara itu kepadanya, justeru beliau merasakan Mohamed Azmin perlu memberikan penjelasan.
“Ramai yang sampaikan kepada saya, jadi saya fikir jawablah. Jika beliau kata tidak, maka tidaklah. Namun jika benar, suatu hari nanti perkara itu akan terbukti.
“Apabila ia terbukti, orang tidak akan lagi mempercayai anda. Ketika ini mungkin tidak dijawab, tetapi apabila kebenaran muncul kelak, semuanya akan diketahui,” katanya dalam satu temubual bersama media di Kuala Lumpur, hari ini.
Isu tindakan parti jadi persoalan
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya sebelum ini yang mempersoalkan tindakan parti terhadap pemimpin BERSATU yang secara terbuka mahu menyokong Anwar, namun tidak dikenakan sebarang tindakan disiplin.
Sebaliknya, Hamzah mendakwa beliau telah dipecat daripada parti selepas dikaitkan dengan pertemuan bersama Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, di Bangkok.
Penafian bertemu Anwar di luar Parlimen
Mengulas dakwaan bahawa beliau sendiri pernah bertemu Anwar, Hamzah menegaskan bahawa perkara itu tidak benar, kecuali dalam urusan rasmi di Parlimen.
“Kenapa saya perlu berjumpa Anwar? Jika sebagai Ketua Pembangkang, saya hanya bertemu beliau di Parlimen. Adakah itu satu kesalahan?
“Di luar Parlimen, sejak beliau menjadi Perdana Menteri sehingga kini, saya tidak pernah bertemu beliau, sama ada di pejabat, di rumah atau di mana-mana sekali pun,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.