
Imigresen perlu mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pelancong yang tidak meninggalkan Malaysia mengikut tempoh tinggal yang ditetapkan, tegas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan jumlah pelancong yang memasuki negara ini sepadan dengan bilangan yang keluar.
“Isu ketidaksepadanan ini memang sering dipersoalkan. Pelancong masuk ke Malaysia bukan sahaja melalui ejen pelancongan, malah ada yang datang sendiri dari pelbagai negara.
“Jika ada pelancong yang tidak meninggalkan negara mengikut tempoh ditetapkan, imigresen mesti mengambil tindakan penguatkuasaan,” katanya ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Negara.
Kerjasama dengan kedutaan dan ejen pelancongan
Tiong menjawab celahan Senator Husin Ismail yang membangkitkan isu pelancong tidak pulang serta mencadangkan supaya ejen pelancongan bertanggungjawab memastikan pelancong meninggalkan negara mengikut jadual bagi mengelakkan ketidakseimbangan jumlah.
Menurutnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Motac, telah meminta pejabat kedutaan beberapa negara termasuk China menyediakan senarai nama dan nombor pasport pelancong yang melebihi tempoh tinggal bagi memperkemas pengurusan.
“Pejabat kedutaan akan menjalankan siasatan, imigresen pula mengumpul senarai pelancong yang overstay, manakala Motac akan mengenal pasti ejen terlibat supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.
Autonomi imigresen Sabah dan Sarawak kekal
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Dalam Negeri, KDN, memberi jaminan bahawa autonomi imigresen bagi Sabah dan Sarawak akan terus dipertahankan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963, MA63, dan Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah, berkata walaupun Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, AKPS, mula berkuat kuasa pada 1 Jan 2025, kuasa autonomi wilayah Borneo tidak akan terjejas.
“Di bawah Seksyen 6(3) Akta 860, AKPS diwajibkan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri Sabah dan Sarawak berkaitan kawalan individu di pintu masuk negara.
“Pelaksanaan akta baharu ini sama sekali tidak akan menghakis kuasa sedia ada kerajaan negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementerian itu.