
Kenderaan yang dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia Bukit Kayu Hitam, Mohd Nasaruddin Mohd Nasir, ditembak dalam satu kejadian awal pagi tadi.
Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5.40 pagi, iaitu lebih kurang satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand. Mangsa bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dua suspek lepaskan tembakan
Menurut Adzli, ketika kejadian mangsa sedang memandu menuju ke Masjid Al Muhajirin Bukit Kayu Hitam untuk menunaikan solat Subuh.
Beliau berkata, mangsa kemudian didatangi dua individu berpakaian serba hitam yang menaiki motosikal dan memakai topi keledar jenis full-face.
Salah seorang suspek melepaskan dua das tembakan yang mengenai pintu bahagian kanan belakang kenderaan serta pintu sebelah penumpang hadapan. Namun, tembakan tersebut tidak mencederakan mangsa.
Sejurus kejadian, mangsa yang memandu bersendirian cuba mengejar suspek sejauh kira-kira satu kilometer sebelum kedua-duanya meloloskan diri ke kawasan perindustrian berhampiran.
Mangsa kemudiannya memandu kenderaan persendirian jenis Proton X70 ke Balai Polis Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di sini untuk membuat laporan.
Siasatan tidak tolak kaitan sindiket
Adzli berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan dari semua sudut dan tidak menolak kemungkinan insiden itu berkait dengan ketidakpuasan hati mana-mana sindiket yang melakukan kesalahan di sempadan.
Beliau menjelaskan, AKPS Bukit Kayu Hitam merekodkan pelbagai kejayaan rampasan dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, termasuk rampasan 100 tan beras dan daging khinzir.
Menurutnya, keadaan itu berkemungkinan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan sindiket tertentu. Pada masa sama, polis turut giat menahan penyeludup dan migran yang berpusat di kawasan berkenaan, manakala mangsa bertanggungjawab atas penugasan di kompleks tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 kerana melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan terhadap seseorang.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.