
Kerajaan tidak akan mengambil keputusan terburu-buru untuk membatalkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dengan Amerika Syarikat yang ditandatangani pada 26 Okt tahun lalu, susulan keputusan Mahkamah Agung negara itu yang membatalkan tarif import diperkenalkan Presiden Donald Trump.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata semua pihak perlu memberi ruang dan masa kepada kerajaan untuk meneliti perkara berkenaan secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat, termasuk menimbang kepentingan serta implikasinya terhadap ekonomi negara.
“Jadi mengapa kita nak terburu-buru kerana Mahkamah Agung AS putuskan tiga hari lalu…hari ini kita kena ikut keputusan mahkamah agung.
“Saya tak setuju. Apa pun keputusan kita kena teliti pertama pertahankan kepentingan negara dulu. Seterusnya apa kepentingan ekonomi dan perdagangan kita,” katanya pada sesi pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Jawab persoalan ahli Parlimen
Beliau menjawab soalan Rosol Wahid yang meminta kerajaan menyatakan pendirian rasmi terhadap keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang mengisytiharkan tarif diperkenalkan Trump sebagai tidak sah.
Rosol turut meminta penjelasan mengenai implikasi keputusan itu terhadap hubungan perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat.
Hassan Karim juga menggesa kerajaan membatalkan perjanjian berkenaan yang disifatkan tidak sah susulan keputusan mahkamah tertinggi negara itu.
Ahad lalu, Anwar memaklumkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri akan membentangkan laporan terperinci mengenai tarif timbal balik Amerika Syarikat kepada Jemaah Menteri pada Jumaat ini.
Keputusan Mahkamah Agung AS dan implikasi
Pada Sabtu, Mahkamah Agung Amerika Syarikat memutuskan Trump melampaui kuasanya dalam melaksanakan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa.
Malaysia dan Amerika Syarikat memeterai perjanjian perdagangan timbal balas semasa lawatan Trump ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak Asean tahun lalu. Perjanjian itu mengekalkan tarif 19 peratus ke atas barangan Malaysia, manakala produk tertentu menikmati tarif sifar di bawah senarai rakan dagang bersama.
Anwar berkata kerajaan bersetuju supaya perjanjian tersebut dinilai semula, namun tidak boleh membuat keputusan segera kerana perlu mengambil kira perkembangan semasa serta implikasi keputusan eksekutif Amerika Syarikat, khususnya terhadap hubungan dua hala yang bernilai RM367.5 bilion.
Kepentingan negara jadi keutamaan
Dalam pada itu, beliau mempertahankan keputusan kerajaan dan bekas menteri pelaburan, perdagangan dan industri, Tengku Zafrul Aziz, yang menandatangani perjanjian tersebut.
Menurutnya, keputusan awal itu dibuat dengan mengambil kira kepentingan negara.
“Kita adalah negara dagang dan dalam peruntukan itu boleh pertahankan termasuk peruntukan menjamin keselamatan dan ekonomi negara. Itu cukup jelas.
“Kalau lihat sistem di AS, penafsiran mahkamah agung ialah kuasa mengenakan tarif adalah kuasa kongres. Jadi kita tunggu dulu,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.