
Semua agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diarahkan supaya tidak menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini sebagai langkah berjaga-jaga susulan konflik di Timur Tengah yang semakin meruncing sejak 28 Feb.
Langkah berjaga-jaga dan galak perbelanjaan berhemah
Menurutnya, keputusan berkenaan bertujuan menghantar mesej supaya semua pihak mengamalkan perbelanjaan yang lebih cermat dan sederhana dalam keadaan semasa.
“Ini memberi satu mesej supaya perbelanjaan lebih cermat dan sederhana,” katanya dalam sidang media khas hari ini.
Anwar menjelaskan, langkah berjimat pada masa ini dianggap munasabah walaupun bekalan barangan keperluan asas masih mencukupi dan keadaan ekonomi negara berada dalam keadaan terkawal.
Elak risiko keadaan lebih parah
Beliau berkata, pendekatan berjimat perlu diambil bagi mengelakkan negara terdedah kepada keadaan yang lebih sukar sekiranya situasi global bertambah buruk.
“Ada yang bertanya, apa keperluan untuk berjimat? Ini supaya kita tidak terjebak dengan keadaan yang lebih parah. Lebih baik kita ambil sikap sederhana dan bertanggungjawab,” katanya.
Lawatan rasmi ke luar negara turut dihadkan
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan juga akan mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara melibatkan menteri dan pegawai pentadbiran.
Menurutnya, lawatan luar negara hanya akan dibenarkan bagi program yang sudah dijadualkan atau benar-benar wajib dihadiri.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.