
Malaysia memperbaharui lesen operasi Lynas Malaysia selama 10 tahun, berkuat kuasa 3 Mac.
Menurut kenyataan syarikat itu hari ini, Lynas Rare Earths Ltd telah menerima surat daripada Jabatan Tenaga Atom Malaysia berhubung pembaharuan tersebut, dan pengawal selia berkenaan dijangka mengeluarkan lesen rasmi dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Rare Earths, Amanda Lacaze, berkata pihaknya menyambut baik tempoh lesen yang lebih panjang itu kerana memberikan kepastian pelaburan kepada syarikat serta rakan rantaian bekalan dan pelanggan nadir buminya.
“Bagi pihak semua pekerja Lynas, kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas perhatian mereka terhadap perkara ini serta sokongan terhadap industri nadir bumi di Malaysia,” katanya.
Kelulusan tertakluk syarat Akta 304
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata kelulusan pembaharuan lesen operasi selama 10 tahun itu diberikan oleh Jabatan Tenaga Atom di bawah Akta Tenaga Atom 1984, Akta 304.
Menurutnya, kelulusan dibuat selepas penilaian teknikal, pematuhan undang-undang serta pertimbangan kepentingan strategik negara dan komitmen yang diberikan oleh Lynas.
Beliau menegaskan kelulusan tersebut dibuat dengan pendirian jelas bahawa tiada lagi pembinaan kemudahan pelupusan kekal, PDF, baharu pada masa hadapan bagi residu Water Leach Purification, WLP, yang melebihi had kawalan di bawah Akta 304.
Kawalan residu dan pemantauan berterusan
Chang berkata selepas tempoh lima tahun pertama, pengeluaran residu radioaktif hendaklah dihentikan sepenuhnya. Residu yang dihasilkan dalam tempoh itu pula perlu dineutralkan melalui pengekstrakan thorium atau kaedah rawatan yang diluluskan sehingga tahap kurang daripada 1 Bq per gram.
Beliau menambah, MOSTI kekal komited memastikan industri nadir bumi, REE, dalam negara dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.
Komitmen itu diperkukuh melalui pemantauan berterusan menerusi Environmental Radiation Monitoring System, ERMS, yang memantau serta mengesan sebarang peningkatan bacaan sinaran secara masa nyata.
Katanya, data tersebut meningkatkan kesiapsiagaan kerajaan dan membolehkan tindakan awal diambil bagi mengurangkan risiko radiologi kepada orang awam serta alam sekitar. Ia juga memastikan aspek keselamatan dipantau berasaskan data tempatan yang sahih tanpa bergantung kepada sumber luar negara.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.