
Dunia sukan dan komuniti hak asasi manusia dikejutkan dengan pelaksanaan hukuman mati terhadap pegulat muda Iran, Saleh Mohammadi, 19, yang dihukum gantung atas penglibatannya dalam demonstrasi anti-kerajaan pada awal Januari 2026.
Hukuman tersebut dilaksanakan oleh pihak berkuasa Iran di bandar Qom pada awal pagi Khamis, bersama dua lagi individu, Mehdi Ghasemi dan Saeed Davoudi.
Ketiga-tiga mereka didakwa membunuh dua anggota polis ketika gelombang protes nasional yang tercetus di Iran pada awal tahun 2026.
Tuduhan moharebeh dan dakwaan penglibatan asing
Kerajaan Iran melalui media Tasnim News menyifatkan tindakan mereka sebagai moharebeh, iaitu permusuhan terhadap Tuhan, satu kesalahan serius di bawah undang-undang negara itu.
Selain itu, mereka turut dikaitkan dengan sokongan pihak asing, termasuk Amerika Syarikat dan Israel, satu tuduhan yang sering dikenakan terhadap peserta demonstrasi, termasuk sebelum serangan kedua-dua negara itu ke atas Iran pada 28 Februari 2026.
Dakwaan ketidakadilan dalam proses perbicaraan
Beberapa aktivis hak asasi manusia mempersoalkan proses perundangan terhadap Mohammadi, dengan menyatakan terdapat pelbagai kejanggalan.
Menurut laporan, wujud dakwaan penyeksaan, pengakuan secara paksa serta perbicaraan tertutup tanpa akses pembelaan yang sewajarnya.
Latar belakang sebagai atlet negara
Di sebalik kontroversi tersebut, kisah peribadi Mohammadi turut menarik perhatian ramai.
Beliau merupakan anggota pasukan kebangsaan gusti gaya bebas Iran dan pernah meraih pingat gangsa dalam kejohanan Saytiyev International Cup 2024.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.