
Penceramah bebas Zamri Vinoth, yang memainkan peranan utama dalam satu himpunan membantah apa yang didakwa sebagai rumah ibadat haram, ditahan polis bersama beberapa peserta perhimpunan lain di ibu negara.
Berita mengenai penahanan Zamri dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya, yang memaklumkan beliau telah ditahan pihak berkuasa dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
FMT turut melaporkan bahawa beberapa peserta lain dalam perhimpunan berkenaan juga ditahan, namun maklumat terperinci mengenai jumlah dan identiti mereka masih terhad setakat ini.
Tangkapan di sekitar kawasan Sogo
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa individu yang dipercayai peserta Himpunan Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram ditahan di hadapan Kompleks Beli-Belah Sogo pada malam kejadian.
Difahamkan, individu terbabit pada awalnya cuba melakukan provokasi ketika didekati anggota polis yang sedang menjalankan pemantauan keselamatan, sebelum diberikan nasihat oleh pihak berkuasa.
Keadaan bagaimanapun menjadi tegang apabila mereka enggan mematuhi arahan yang dikeluarkan, menyebabkan polis mengambil tindakan menahan individu berkenaan.
Dibawa ke IPD Dang Wangi
Semua individu yang ditahan kemudiannya dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.
Sebelum ini, polis memaklumkan bahawa penganjuran Himpunan Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram tidak dibenarkan atas faktor keselamatan awam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menjalankan risikan keselamatan serta meneliti maklum balas daripada pelbagai pihak berkaitan.
Himpunan dirancang suarakan kebimbangan
Terdahulu, media tempatan melaporkan satu himpunan aman dirancang di Kuala Lumpur bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah ibadat haram yang didakwa semakin berleluasa di seluruh negara.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.