
Pertikaian berterusan antara Petronas dan kerajaan Sarawak bukan sekadar berkaitan isu royalti, sebaliknya mencerminkan perebutan lebih besar mengenai kawalan dan skala dalam sistem tenaga Malaysia.
Penganalisis politik global, perniagaan dan ekonomi serta pensyarah adjung di Universiti Teknologi Petronas, Samirul Ariff Othman berkata, konflik yang semakin memuncak mengenai pemilikan dan kuasa terhadap sumber luar pesisir berpotensi menjejaskan daya saing Petronas di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, banyak perdebatan awam sering memberikan gambaran yang tidak lengkap apabila pertikaian itu dilihat semata-mata sebagai isu hasil minyak dan pemilikan sumber.
“Gambaran itu memang mudah difahami, tetapi tidak lengkap,” katanya.
Beliau menegaskan persoalan yang lebih penting bukanlah siapa memiliki minyak tersebut, sebaliknya siapa yang mengawal sistem yang membolehkan hidrokarbon Malaysia dibangunkan, dikomersialkan, diinsuranskan, dibiayai dan dipasarkan di peringkat global.
Pertikaian undang-undang semakin memuncak
Pertikaian antara kedua-dua pihak semakin hangat selepas Petronas dan kerajaan Sarawak masing-masing memfailkan tindakan undang-undang berkaitan isu berkenaan baru-baru ini.
Pada 12 Januari, syarikat minyak nasional itu memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan mengenai rangka kerja kawal selia yang terpakai terhadap operasinya di Sarawak.
Sementara itu pada 23 Februari, Sarawak memfailkan petisyen mencabar keabsahan Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966, serta pemakaiannya terhadap negeri tersebut.
Sarawak berhujah bahawa undang-undang berkenaan melanggar hak negeri terhadap sumber petroleum yang terletak di dasar laut pelantar benua yang menurutnya berada dalam sempadan negeri.
Negeri itu yang mempunyai syarikat minyak dan gas sendiri, Petros, turut memohon mahkamah tertinggi menentukan entiti mana yang mempunyai kuasa terhadap sumber di perairan Sarawak.
Perebutan susunan sistem tenaga
Samirul berkata pertikaian antara Petronas dan Petros wajar dilihat sebagai perebutan mengenai “susunan sistem”, bukan sekadar pertikaian hak pengeluaran sumber.
Menurutnya, minyak di Malaysia memainkan peranan penting sebagai sebahagian daripada struktur kuasa yang lebih luas.
Beliau menjelaskan pengaruh terhadap skala, kekuatan kewangan, kredibiliti kontrak, akses pasaran serta perlindungan geopolitik sering kali lebih penting berbanding pemilikan rasmi sumber.
Setakat ini, katanya, Petronas berfungsi sebagai penyepadu sistem negara dengan menggabungkan sumber, menyebarkan risiko, mendapatkan pembiayaan, berunding dengan rakan antarabangsa dan mengekalkan kredibiliti di pasaran global.
“Memecahkan peranan itu bukan sekadar mengagihkan semula pendapatan, tetapi mengubah kedudukan Malaysia dalam sistem global,” katanya.
Beliau berkata langkah sedemikian boleh mempengaruhi cara rakan niaga menilai risiko, cara syarikat insurans menetapkan harga pendedahan, cara pembiaya menilai skala serta bagaimana pembeli menilai keselamatan bekalan jangka panjang.
Risiko terhadap ketahanan sistem tenaga
Samirul berkata pengaruh tenaga Malaysia selama ini tidak bergantung semata-mata kepada jumlah rizab yang besar.
Sebaliknya, kekuatan tersebut datang daripada hubungan Malaysia dengan pasaran global serta skala yang dicapai melalui pengurusan minyak dan gas di bawah satu syarikat nasional.
Menurutnya, dengan menggabungkan rizab yang sederhana dalam satu platform nasional, Malaysia berjaya mencapai skala, kredibiliti dan kuasa tawar-menawar dalam industri global yang dikuasai syarikat gergasi.
Beliau turut memberi amaran bahawa melemahkan peranan pusat Petronas boleh menjejaskan ketahanan sistem tenaga negara, khususnya dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu.
“Risikonya bukan semata-mata penyertaan negeri yang lebih besar akan melemahkan persekutuan. Sebaliknya, perpecahan yang tidak diselaraskan boleh menjejaskan ketahanan sistem nasional,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu boleh menjejaskan keupayaan negara menghadapi turun naik harga, kejutan geopolitik atau perubahan dalam pembiayaan tenaga global.
Samirul turut menegaskan pertikaian tersebut tidak wajar disempitkan kepada persaingan politik antara kepentingan persekutuan dan negeri.
Beliau berkata perdebatan mengenai hak negeri, isu perlembagaan dan pengagihan hasil yang adil tetap penting, namun strategi besar lazimnya dibentuk oleh tekanan struktur yang lebih luas.
Tambahnya, landskap politik Malaysia yang semakin berpecah turut memberi lebih pengaruh kepada Sabah dan Sarawak dalam pembentukan kerajaan Persekutuan, sekali gus menjadikan perdebatan mengenai tenaga semakin signifikan.
“Apabila pengaruh politik yang meningkat bertemu dengan tuntutan kawalan lebih besar terhadap hidrokarbon strategik, perdebatan akan beralih daripada penyertaan fiskal kepada kuasa sistemik,” katanya.
Menurutnya, pada tahap itu persoalannya bukan lagi bagaimana hasil dibahagikan, tetapi siapa yang mengawal struktur aliran kuasa tersebut.
Samirul menegaskan cabaran utama Malaysia bukan memilih antara kawalan persekutuan atau negeri, sebaliknya membentuk sistem yang mampu mengekalkan skala, kredibiliti dan ketahanan.
“Pertikaian Petronas dan Petros pada asasnya bukan mengenai minyak semata-mata, dan bukan juga mengenai kebanggaan persekutuan atau negeri. Ia berkaitan dominasi sistem berbanding kerentanan sistem.
“Kuasa hari ini terletak pada keupayaan membentuk aliran modal, kontrak, teknologi dan kepercayaan, bukan sekadar membahagikan tong minyak,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.