
Polis diarahkan supaya memberi keutamaan dan fokus sepenuhnya dalam membuka kertas siasatan terhadap setiap aduan yang diterima berhubung dakwaan wujud komplot untuk menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu, yang menetapkan supaya polis memulakan siasatan sebaik sahaja menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak.
Keputusan Jemaah Menteri
Menurut beliau, proses siasatan telah digerakkan susulan aduan yang diterima, selaras dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, berhubung perkara itu sebelum ini.
“Proses siasatan kes ini masih di peringkat awal. Setiap aduan yang diterima akan menjadi asas penting kepada polis dalam menentukan hala tuju siasatan yang lebih terperinci.
“Daripada aduan tersebut, polis akan menentukan di bawah seksyen dan peruntukan undang-undang mana kes ini akan disiasat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni klien wanita Agensi Antidadah Kebangsaan sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Menteri Dalam Negeri di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik, di sini, awal pagi tadi.
Tentukan motif dan peruntukan undang-undang
Saifuddin menjelaskan, siasatan itu juga penting bagi mengenal pasti motif kejadian serta menentukan hasil akhir sesuatu siasatan.
Sebelum ini, Mohd Khalid dilaporkan berkata polis menerima laporan mengenai dakwaan gerakan yang melibatkan kerjasama antara seorang tokoh tempatan berpengaruh dengan sebuah agensi media antarabangsa pada Khamis lalu.
Kes tersebut kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.