
Rafizi Ramli kini dilihat sebagai liabiliti dari sudut persepsi politik dan kepimpinan negara, meskipun pendekatannya mungkin bertujuan menampilkan pendirian neutral.
Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Dzul Hilmi Zainol, berkata walaupun beliau menghormati pandangan Tajuddin Rasdi, pendekatan Ahli Parlimen Pandan itu yang cenderung mengkritik secara terbuka, termasuk terhadap rakan dalam kerajaan, perlu dinilai secara menyeluruh.
Menurutnya, persoalan utama bukan lagi tertumpu kepada siapa yang betul atau salah, sebaliknya sama ada pendekatan tersebut membantu atau melemahkan Pakatan Harapan.
Kritikan terbuka cetus kekeliruan
Dzul Hilmi berkata dalam suasana politik semasa, kestabilan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan merupakan faktor penting.
Katanya, kritikan terbuka terhadap pimpinan sendiri, termasuk perdana menteri, boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan penyokong.
Beliau menegaskan bahawa politik bukan sekadar keberanian bersuara, tetapi turut melibatkan strategi serta pemilihan masa yang tepat dalam menyampaikan pandangan.
Risiko manipulasi oleh pihak lawan
Menurutnya, pendedahan isu dalaman secara terbuka tanpa kawalan boleh memberi ruang kepada pihak lawan seperti PAS dan Bersatu untuk memanipulasi naratif sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Dalam masa sama, beliau berpandangan Rafizi dilihat sebagai individu yang gemar menarik perhatian dengan menampilkan diri sebagai tokoh yang berani mengkritik kerajaan.
Katanya, ketika memegang jawatan menteri sebelum ini, beliau dilihat kurang lantang dalam isu dasar kerajaan.
Kepentingan disiplin dan kesatuan
Dzul Hilmi turut menekankan kepentingan disiplin dalam kerajaan serta kesatuan dalam penyampaian mesej kepada rakyat, khususnya ketika negara berdepan cabaran global.
Menurutnya, Malaysia ketika ini masih mampu mengekalkan kestabilan ekonomi dan memastikan bekalan serta subsidi menjelang Aidilfitri tidak terjejas berbanding beberapa negara lain yang berdepan konflik.
Beliau berkata, negara tidak boleh memasuki Pilihan Raya Umum ke-16 dalam keadaan berpecah dari segi naratif kerana rakyat lebih menilai keupayaan menjamin kestabilan dan keyakinan untuk mentadbir negara.
Tambahnya, sikap terlalu yakin dengan pandangan sendiri sehingga mencetuskan perbalahan dalaman boleh memberi kesan negatif kepada parti dan membuka ruang kepada perpecahan lebih serius.
Sehubungan itu, beliau berpandangan Rafizi wajar menghargai peluang yang diberikan oleh Anwar Ibrahim dalam perjalanan politiknya.
Katanya, pendekatan yang lebih berhemah serta kesedaran diri penting bagi memastikan perpaduan dalam parti terus terpelihara demi kestabilan kerajaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.