
Rahim Thamby Chik melepaskan jawatan sebagai ketua Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta.
Beliau turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan ahli Jawatankuasa Pengukuhan Parti.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat atas prinsip pertanggungjawaban moral dan politik selepas meneliti perkembangan semasa parti di peringkat pusat serta mengambil kira suara dan aspirasi akar umbi.
Lima bahagian dibubarkan
Susulan keputusan itu, Rahim memaklumkan bahawa jawatankuasa bahagian, Pemuda, Wanita, Srikandi Muda, Bersekutu serta semua cawangan di bawah pentadbiran lima bahagian di Melaka dibubarkan serta-merta.
Pembubaran itu melibatkan bahagian Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah dan Jasin.
Beliau berkata, tindakan tersebut dibuat secara sebulat suara dan sukarela berikutan keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti yang semakin terhakis.
Beberapa pemimpin turut berundur
Perkembangan itu berlaku selepas beberapa pemimpin Bersatu Melaka mengambil langkah meletakkan jawatan, termasuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai ketua Bersatu Masjid Tanah atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti.
Dalam kenyataan sama, Rahim turut mengucapkan tahniah kepada Ahmad Samsuri Mokhtar atas pelantikan sebagai pengerusi Perikatan Nasional dan berharap kepimpinan baharu itu dapat memperkukuh gerak kerja gabungan berkenaan.
Ketika ini, Bersatu dilaporkan berdepan kemelut dalaman susulan tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin, termasuk pemecatan Hamzah Zainudin sebagai timbalan presiden parti.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.