
Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee dan Ketua Wanita Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin parti bagi menjawab beberapa tuduhan yang dikemukakan terhadap mereka.
Ronald Kiandee yang juga ketua Whip Bersatu berkata beliau menerima surat tersebut pada 28 Feb lalu dan tempoh untuk memberikan jawapan berakhir hari ini.
Ronald persoal tujuan tindakan disiplin
Menurut beliau, walaupun jawapan diberikan, tindakan tetap dijangka diambil terhadap mereka.
“Sama ada saya jawab atau tidak, saya pasti tindakan akan tetap diambil dan saya percaya ia bertujuan menyingkirkan kami daripada menyokong Hamzah Zainudin,” katanya seperti dipetik Sinar Harian selepas Majlis Moreh Perdana dan Pelancaran Gempur Rasuah Negeri Sembilan di Port Dickson malam tadi.
Beliau menjelaskan bahawa antara sebab beliau menerima surat tunjuk sebab adalah kerana menghantar surat kepada Ketua Whip Perikatan Nasional, Takiyuddin Hassan bagi memaklumkan sokongan 13 Ahli Parlimen Bersatu kepada Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang di Parlimen.
Mas Ermieyati belum putuskan jawapan
Mas Ermieyati Samsudin pula berkata tempoh akhir untuk menjawab surat tunjuk sebab tersebut adalah hari ini.
“Setakat ini saya tidak berhajat untuk menjawabnya. Kita tengoklah macam mana nanti,” kata Ahli Parlimen Masjid Tanah itu.
Hadir perhimpunan sokong Hamzah
Ronald Kiandee dan Mas Ermieyati Samsudin antara pemimpin yang hadir pada majlis perhimpunan menyokong Hamzah Zainudin pada 14 Feb lalu, sehari selepas timbalan presiden itu dipecat daripada Bersatu.
Pada 19 Feb lalu, Mas Ermieyati turut mengesahkan bahawa beliau melepaskan jawatan sebagai ketua Bersatu Masjid Tanah.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.