
Pemimpin Umno menegaskan bahawa agenda “Rumah Bangsa” selari dengan tuntutan Islam, sekali gus menolak dakwaan bahawa inisiatif tersebut tidak berteraskan agama.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno, Khairuddin Aman Razali berkata usaha menyatukan umat Islam melalui platform berkenaan menepati saranan Islam, dan pihak yang menolaknya dengan pelbagai alasan hanya menjadikan agama sebagai alat politik.
Dakwaan menolak penyatuan umat Islam
Menurutnya, mana-mana ahli politik yang menolak usaha penyatuan umat Islam dengan pelbagai helah dan alasan sebenarnya sedang memperlihatkan pendirian sebenar mereka.
“Jika ada mana-mana orang politik Islam yang menolak agenda menyatukan umat Islam dengan pelbagai alasan, ia hanya membuka topeng sebenar mereka, sama ada benar-benar memperjuangkan politik Islam atau sekadar menjadikan Islam sebagai tunggangan untuk kepentingan politik peribadi,” katanya kepada FMT.
PAS tidak sokong platform Rumah Bangsa
Semalam, Presiden PAS, Hadi Awang dilaporkan berkata parti itu tidak bersedia menyokong agenda “Rumah Bangsa” yang dianjurkan Umno kerana menganggap platform tersebut tidak berteraskan Islam.
Beliau berkata kesimpulan itu dibuat selepas wakil yang dihantar oleh parti berkenaan menghadiri pertemuan melibatkan beberapa parti politik minggu lalu.
Menurutnya, pertemuan tersebut dilihat sebagai usaha untuk mempromosikan perpaduan Melayu berasaskan semangat kebangsaan tanpa berteraskan Islam.
Pertemuan parti Melayu dan Bumiputera
Pada 5 Mac lalu, lapan parti politik yang berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera buat pertama kali duduk semeja bagi mencari titik persefahaman mengenai isu kepentingan agama dan kaum.
Pertemuan itu diadakan di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, dengan PAS diwakili Setiausaha Agung parti tersebut, Takiyuddin Hassan.