
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Tengku Zafrul Aziz, menegur Rafizi Ramli berhubung dakwaan bahawa Malaysia bakal dikenakan kadar tarif hampir dua kali ganda susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Tengku Zafrul yang juga bekas menteri pelaburan, perdagangan dan industri mendakwa kenyataan itu memutarbelitkan fakta.
“Rafizi janganlah asyik nak ‘spin’, letihlah nak layan. Apa benda yang kena bayar tarif dua kali ganda ni?” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dakwaan tarif hampir dua kali ganda dipersoal
Menurut beliau, apabila Mahkamah Agung Amerika Syarikat membatalkan tarif yang dikenakan pentadbiran Donald Trump, kadar 19% yang sebelum ini dikenakan ke atas Malaysia tidak lagi terpakai.
Rafizi sebelum itu mendakwa Malaysia perlu membayar hampir dua kali ganda tarif berbanding kadar terdahulu susulan keputusan mahkamah berkenaan. Beliau turut menyifatkan keadaan itu berpunca daripada tindakan ‘tergesa-gesa’ untuk menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas atau ART dengan Amerika Syarikat.
Pada Jumaat, Donald Trump mengumumkan tarif 10% ke atas semua barangan import ke Amerika Syarikat susulan keputusan Mahkamah Agung negara itu yang membatalkan dasar ekonomi utamanya.
Gesaan siasatan dan isu perjanjian
Rafizi turut menyatakan Perdana Menteri dan Tengku Zafrul perlu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana didakwa membuat perjanjian ART secara tergesa-gesa.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ketika ini sedang menyiasat satu perjanjian antara kerajaan dengan sebuah firma asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion, yang didakwa dimeterai secara tergesa-gesa dan dalam keadaan tidak memihak kepada kerajaan.
Sebelum ini, Rafizi mendakwa kontroversi berkaitan perjanjian dengan Arm Holdings, sebuah syarikat semikonduktor global, sengaja diperbesarkan bagi memberikan gambaran negatif terhadap dirinya.
ART diibaratkan seperti insurans perjalanan
Tengku Zafrul menafikan wujud unsur tergesa-gesa dalam memeterai perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat. Beliau berkata kerajaan memilih untuk bertindak awal bagi melindungi kepentingan nasional.
Menurutnya, situasi tersebut boleh diibaratkan seperti insurans perjalanan.
“Dia macam insurans perjalanan. Masa nak melancong orang selalu fikir takkan jadi apa-apa. Tapi apabila masuk hospital luar negara, bil boleh cecah puluhan ribu ringgit. Waktu itu baharulah kita faham kenapa bayar takaful itu penting.
“ART ini pun sama, kita bersedia daripada awal, sediakan payung sebelum hujan. Dalam perdagangan global hari ini, siapa lambat bergerak akan bayar harga yang mahal.
“Ada orang tunggu ribut datang, lepas itu sibuk nak bercakap cara nak selamat. Kita pula pilih untuk pasang payung awal supaya rakyat tidak perlu basah dulu baru nak cari teduh.”
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.