
Seorang penganalisis mencadangkan supaya Perikatan Nasional menentukan calon perdana menteri melalui proses undi dalaman bagi mengelakkan perdebatan terbuka yang sedang berlaku ketika ini.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata mekanisme tersebut boleh membantu meredakan pertikaian dan pada masa sama menunjukkan disiplin kolektif dalam gabungan itu.
Beliau turut mencadangkan pemilihan melibatkan enam tokoh utama yang dipilih berdasarkan kedudukan hierarki dalam gabungan.
Antara yang dicadangkan ialah Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Hadi Awang.
Turut disenaraikan ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin dan Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali.
Cadangan undi dalaman selepas PRU16
Penganalisis dari Global Asia Consulting itu berkata pemilihan sebaiknya dilakukan selepas pilihan raya umum ke-16 apabila kesemua tokoh tersebut disahkan memenangi kerusi Parlimen masing-masing dan PN memperoleh mandat rakyat.
Menurutnya, proses undian dalaman akan membolehkan PN menentukan kepimpinan secara lebih tersusun.
“Dengan pengundian dalaman, PN dapat membuktikan disiplin kolektif dalam menentukan kepimpinan.
“Jika dibiarkan, perebutan ini hanya akan melahirkan retak dalaman dan menghakis kredibiliti PN sebagai blok alternatif,” katanya.
Isu calon perdana menteri kembali diperdebatkan
Perdebatan mengenai calon perdana menteri PN kembali timbul susulan pelantikan Ahmad Samsuri sebagai pengerusi gabungan itu menggantikan Muhyiddin.
Muhyiddin dilaporkan berkata pelantikan Samsuri sebagai pengerusi PN tidak bermakna beliau secara automatik menjadi calon perdana menteri gabungan tersebut.
Samsuri dalam satu hantaran di Facebook semalam turut menyatakan bahawa dirinya dan Muhyiddin bukan lagi calon perdana menteri.
Menteri Besar Terengganu itu juga menjelaskan bahawa penentuan calon perdana menteri bukan keutamaan buat masa ini kerana gabungan berkenaan perlu menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi pilihan raya.
Setakat ini, Bersatu telah memutuskan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri ke-11 selepas usul berkaitan diluluskan dalam Perhimpunan Agung Tahunan parti itu pada September tahun lalu.
Pandangan mengenai peranan pengerusi gabungan
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berpendapat proses pemilihan calon perdana menteri atau poster boy PN sepatutnya dipermudahkan dengan menjadikan pengerusi gabungan itu sebagai calon secara automatik.
Menurut beliau, adalah sesuatu yang luar biasa jika pengerusi sebuah gabungan politik tidak menjadi calon perdana menteri.
“Biasanya pengerusi juga berperanan sebagai poster boy bagi sesebuah gabungan,” katanya.
Namun beliau menjelaskan perdebatan yang timbul mungkin berkait dengan pengalaman Samsuri yang lebih banyak tertumpu kepada pentadbiran negeri Terengganu sebagai menteri besar.
Azmi turut berpandangan pelantikan Samsuri sebagai pengerusi PN lebih kepada usaha meredakan kemelut dalaman dalam gabungan itu, khususnya antara Bersatu dan PAS.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.