
DAP Sabah mengesahkan sudah mengenal pasti calon untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 29 November ini, bagi menggantikan penyandang kerusi itu, Frankie Ming Fung, yang keluar parti baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Chan Foong Hin, berkata tindakan Ming Fung meninggalkan parti tidak menjejaskan semangat jentera DAP untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi sejak 2018 itu.
Beliau berkata calon bagi DUN Tanjung Papat sudah dikenal pasti dan namanya akan diumumkan pada hari Sabtu ini. Chan juga menyatakan keyakinan terhadap sokongan pengundi tempatan, merujuk lawatannya ke Pusat Khidmat Komuniti MADANI di Sandakan yang menurutnya jelas menunjukkan kewujudan dan aktiviti DAP di kawasan tersebut.
“Jadi tidak wujud isu kita kurang yakin,” kata Chan ketika merasmikan Program Santuni Pekebun Kecil Sawit di Dewan Serbaguna Gum-Gum di sini, hari ini.
Bulan lalu, Frankie Ming Fung yang juga bekas pengerusi DAP mengumumkan keluar parti bersama ahli sembilan cawangan, dengan alasan kepimpinan semasa parti mengabaikan pemimpin veteran.
DUN Tanjung Papat merupakan satu daripada enam kerusi yang dimenangi DAP dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 2020. Lima lagi ialah Luyang, Likas, Kapayan, Elopura dan Sri Tanjong.
Proses penamaan calon untuk PRN Sabah dijadualkan pada 15 November, dan pemilihan calon DAP untuk Tanjung Papat akan menjadi tumpuan setempat menjelang tarikh itu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.