
Seorang ahli kimia forensik memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa kesan darah pada dua helaian kertas diari mengandungi tulisan tangan Zara Qairina Mahathir adalah sepadan dengan profil asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh daripada spesimen tulang remaja itu.
Nor Aidora Saedon, 52, Pengarah Kanan di Pusat Pengurusan Kualiti dan Penyelidikan Jabatan Kimia Malaysia, Selangor, yang merupakan saksi ke-17, menjelaskan bahawa kesan darah ditemui pada dua helaian kertas berlabel “Y1” dan “Y8”, masing-masing merangkumi dua dan tujuh kawasan. Beliau berkata kesan darah tersebut konsisten antara satu sama lain dan sepadan dengan profil DNA daripada spesimen tulang Zara Qairina. “Ini menunjukkan DNA yang dikenal pasti berasal daripada individu yang sama. Kertas ‘Y1’ dan ‘Y8’ adalah saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Nor Aidora, yang mempunyai 26 tahun pengalaman sebagai ahli kimia, turut memaklumkan mahkamah bahawa kesan darah juga dikesan pada kertas berlabel ‘WK15(9)(a)’. Beliau menambah terdapat kesan DNA surih pada beberapa barangan bukti, termasuk buku berlabel ‘WK13’. Menurutnya, DNA surih terhasil melalui apa yang dipanggil ‘contact or transfer’ — iaitu sentuhan atau air liur.
Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa daripada analisis, satu profil DNA campuran diperoleh daripada kesan darah pada ‘Y8’ (meliputi kawasan ‘Y8(i)’) dan kesan DNA surih pada beg alat tulis berlabel ‘WK1(a)’, buku ‘WK9’ dan ‘WK14’, serta selimut ‘WK27’. Profil campuran itu mengandungi seorang penyumbang major perempuan — yang padanannya adalah dari spesimen tulang Zara Qairina — manakala penyumbang minor lain tidak dapat ditentukan secara konklusif.
Nor Aidora juga memaklumkan beliau menerima sebanyak 37 ekshibit pada 11 Ogos lalu, termasuk bungkusan kertas, sampul barang bukti dan beg spesimen yang mengandungi putik kapas, kesan darah, kuku dan tulang daripada seorang pegawai polis. Beliau kemudiannya menerima satu beg barang bukti bertanda ‘Y8’ daripada pegawai polis lain pada 20 Ogos. Kesemua ekshibit dilaporkan berada dalam keadaan sempurna dan “intact”.
Menegaskan rantaian pemeliharaan bukti (chain of custody), Nor Aidora berkata sepanjang proses analisis, ekshibit tidak pernah ditinggalkan tanpa kawalannya. Beliau turut menjelaskan setiap ekshibit diterima bermeterai, dibuka sendiri untuk analisis, diperiksa semula selepas analisis, dimasukkan ke dalam sampul asal dan dimeterai semula. Proses analisis DNA menurutnya merangkumi empat langkah utama: ekstraksi DNA, kuantitasi DNA, amplifikasi DNA dan elektroforesis DNA.
Prosiding inkues berkaitan kematian Zara Qairina bersambung petang ini. Zara, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi, 16 Julai.