
Penganalisis berpandangan cadangan pertandingan secara ‘free for all’ pada Pilihan Raya Negeri Johor berpotensi mengurangkan ketegangan antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, namun dalam masa sama memberi persepsi tertentu terhadap tahap kerjasama kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.
Penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Shukri tidak menolak kemungkinan orang ramai melihat kerajaan perpaduan di pusat sebagai tidak sepadu serta tiada hala tuju yang jelas dalam kerjasama di peringkat negeri.
Menurutnya, tanggapan sedemikian boleh wujud susulan pendekatan yang berbeza antara kerjasama di peringkat persekutuan dan strategi pilihan raya di Johor.
Free for all sebagai strategi pilihan raya
Syaza bagaimanapun berkata, pendekatan tersebut juga boleh dilihat sebagai satu strategi, malah berkemungkinan dihargai pengundi kerana mereka mempunyai lebih banyak pilihan calon tanpa dipaksa menyokong parti yang tidak mereka gemari.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pakatan Harapan Johor, Aminolhuda Hassan, yang berpandangan konsep free for all mungkin menjadi pilihan terbaik bagi menyelesaikan kebuntuan untuk mewujudkan kerjasama dengan Barisan Nasional di negeri itu.
Aminolhuda dilaporkan berkata, semua parti boleh bertanding di kerusi yang dituntut pada PRN Johor yang dijangka diadakan tahun depan, sekali gus mengelakkan polemik berkaitan kerjasama perpaduan seperti di peringkat persekutuan.
Untuk rekod, tiada kerjasama rasmi antara BN dan PH dalam pentadbiran kerajaan Johor ketika ini.
Rekod pilihan raya dan kerjasama terdahulu
PRN Johor 2022 menyaksikan Barisan Nasional menguasai 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala Pakatan Harapan memenangi 12 kerusi, diikuti Perikatan Nasional dengan tiga kerusi dan satu kerusi dimenangi Muda.
Penganalisis dari Akademi Nusantara, Azmi Hassan berkata, BN dan PH sebenarnya pernah bekerjasama dalam Pilihan Raya Kecil Simpang Jeram dan Pulai pada September 2023, apabila Umno memberi laluan atas dasar kerusi berkenaan disandang wakil Amanah.
Menurutnya, kerjasama tersebut menyebabkan wujud tafsiran adanya persefahaman antara kedua-dua gabungan, namun konsep free for all bermaksud semua parti bebas bertanding di kerusi yang mereka kehendaki.
Beliau berkata, dalam situasi sedemikian, Amanah boleh dilihat sebagai tidak menghormati kerjasama yang terjalin selama tiga tahun sekiranya memilih untuk bertanding tanpa penyelarasan.
Sebagai rekod, Pakatan Harapan turut memberi laluan kepada Umno pada Pilihan Raya Kecil DUN Mahkota pada 2024, yang menyaksikan kerjasama tersebut mencatat kemenangan dengan majoriti 20,648 undi berbanding 5,166 undi pada PRN 2022.
Risiko pecahan undi dan mandat lemah
Penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali pula berpendapat pertembungan antara BN dan PH pada PRN Johor, sekiranya berlaku, tidak akan menjejaskan kelangsungan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.
Beliau berkata, terdapat jaminan bahawa kerajaan persekutuan akan diteruskan sehingga tamat penggal, namun mengingatkan risiko sekiranya berlaku serangan politik berlebihan semasa kempen.
Sementara itu, penganalisis dari Universiti Teknologi Mara, A Aziz Azizam berpandangan kenyataan Aminolhuda yang disambut oleh Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azlen Ambros memberi isyarat wujudnya ketidaksepakatan dalam kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, cadangan semua parti bertanding tanpa sebarang penyelarasan awal mencerminkan strategi ‘lawan dahulu, bersahabat kemudian’ yang dianggap tidak sihat dalam konteks politik perpaduan.
Menurutnya, pendekatan tersebut berisiko menyebabkan pecahan undi yang akhirnya melemahkan kekuatan kemenangan, selain menghasilkan mandat yang lemah kerana kemenangan daripada undi berpecah tidak mencerminkan sokongan rakyat yang benar-benar kukuh di sesuatu lokaliti.
Ikuti perkembangan terkini di Buletin Rakyat.