
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mencadangkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengambil langkah proaktif dengan memastikan semua ganjaran yang dijanjikan penaja kepada atlet dinyatakan dalam kontrak rasmi.
Beliau berkata MPM dan MOM wajar mencontohi pendekatan Jawatankuasa Road to Gold (RTG) dalam pengurusan penajaan dan ganjaran kepada atlet bagi mengelakkan isu yang menimpa jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou, berulang.
“Semasa atlet kita ke Sukan Olimpik Paris, banyak syarikat menawarkan ganjaran sehingga RM1 juta dan pelbagai insentif sekiranya atlet meraih pingat emas. Apa yang RTG lakukan ialah memastikan semua penaja menandatangani kontrak, dan saya melihat keperluan MOM serta MPM mengikut langkah yang sama,” kata Hannah Yeoh kepada Bernama selepas merasmikan Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke-20 di Bangi.
Cheah Liek Hou memenangi pingat emas dalam acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di Paralimpik Tokyo 2020 dan mempertahankan gelarannya pada temasya di Paris tahun lalu.
Minggu lalu, Liek Hou meluahkan kekecewaannya melalui Instagram kerana masih menunggu insentif tunai RM60,000 yang didakwa dijanjikan MPM selepas beliau memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik 2024. Presiden MPM, Megat D. Shahriman Zaharudin, pula mempersoalkan sumber janji RM60,000 tersebut. Menurut beliau, tiga syarikat pada awalnya menjanjikan sokongan kepada pemenang pingat, dan MPM kini menerima RM88,000 daripada seorang penaja untuk diagihkan kepada atlet.
Bagaimanapun, laporan Bernama pada Ogos 2024 memetik kenyataan bahawa pemenang pingat emas Paralimpik Paris dijanjikan insentif tunai RM60,000 oleh tiga syarikat.
Khamis lalu, Megat dilaporkan berkata pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Liek Hou berikutan kenyataannya di media sosial.
Hannah Yeoh menegaskan Liek Hou tidak patut dilayan seolah-olah melakukan kesalahan disiplin apabila beliau hanya menuntut apa yang dijanjikan. “Saya lihat perkara ini mudah diselesaikan. Kita tidak perlu orang tengah. Jika ada janji, tunaikan janji. Jika tidak dapat tunaikan, nyatakan sebabnya dan perbaiki keadaan — tidak perlu sampai menggantung atlet,” katanya.
Beliau menambah bahawa tiba masanya MPM memperbaiki sistem tadbir urusnya dan kementeriannya tidak akan menyokong sebarang tindakan tatatertib terhadap Liek Hou.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.