
Kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan komitmen berterusan memelihara keharmonian antara agama melalui dasar yang adil dan inklusif, termasuk peningkatan peruntukan untuk rumah ibadat bukan Islam serta sekolah aliran Cina sejak 2020.
Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Arthur Sen, berkata sebanyak RM313.8 juta telah disalurkan kepada badan keagamaan bukan Islam dan sekolah Cina untuk tujuan penyelenggaraan, pembangunan dan sokongan operasi.
Menurut data yang dikemukakan, peruntukan bagi rumah ibadat bukan Islam dan sekolah Cina meningkat daripada RM43 juta pada 2020 dan 2021 kepada RM47 juta pada 2022, RM54.05 juta pada 2023, RM56.75 juta pada 2024 dan RM70 juta pada tahun ini.
Arthur menyebut bahawa kerajaan negeri telah mengumumkan kenaikan kepada RM90 juta untuk tahun hadapan, sebagai bukti komitmen jangka panjang dan bukan bantuan bermusim.
Beliau berkata langkah berkenaan merupakan antara tiga inisiatif kerajaan negeri pimpinan Hajiji Noor untuk memastikan keharmonian antara agama terus dipelihara, selain mengekalkan cuti umum tambahan pada 24 Dis untuk sambutan Krismas yang diperkenalkan sejak 2018.
“Keputusan mengekalkan cuti 24 Dis itu mencerminkan kematangan politik kerajaan negeri,” ujarnya dalam kenyataan kepada media.
Arthur turut menegaskan pendirian kerajaan negeri pada 2021 menolak cadangan memperkenalkan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sebagai sebahagian daripada empat undang-undang syariah baharu.
Beliau berkata pendirian itu diambil kerana Sabah sejak lama mengamalkan hubungan antara agama yang harmoni dan sebarang dasar yang boleh menimbulkan ketegangan tidak sesuai dilaksanakan di negeri ini.
Hajiji dipetik bahawa Sabah tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana berpegang kepada prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.