
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menolak tanggapan bahawa pelantikannya untuk menjalankan tugas dan fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menandakan UMNO semakin mendominasi Kabinet pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Johari, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, menegaskan bahawa dominasi politik tidak diukur melalui jawatan dalam Kabinet semata-mata, sebaliknya berdasarkan jumlah kerusi di Dewan Rakyat.
“Bagaimana mungkin UMNO dikatakan mendominasi Kabinet sedangkan kami hanya mempunyai 26 Ahli Parlimen? Dominasi sebenar ditentukan di Parlimen, di mana Kerajaan Perpaduan secara keseluruhan memiliki sekitar 148 Ahli Parlimen, itulah sumber kekuatannya,” jelas beliau kepada media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuantan di Dewan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), hari ini.
Menurut Johari, pelantikan tersebut dibuat oleh Perdana Menteri sebagai langkah interim bagi menangani pelbagai isu penting yang perlu dijawab dalam tempoh terdekat, memandangkan Sidang Parlimen akan bermula dari 21 Julai hingga 28 Ogos 2025.
“Apabila jawatan menteri kosong, Perdana Menteri perlu melantik pemangku secara sementara. Ini penting kerana Parlimen bakal bersidang, dan ada banyak soalan perlu dijawab oleh kementerian berkaitan.
“Justeru, pelantikan pemangku menteri adalah wajar untuk memastikan isu-isu kritikal dapat diselesaikan dalam tempoh satu hingga tiga bulan akan datang,” katanya.
Pada Jumaat, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, memaklumkan bahawa Johari telah dilantik menjalankan tugas Menteri NRES, manakala Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, diberi tanggungjawab menggalas tugas di Kementerian Ekonomi.
Pelantikan ini dibuat susulan peletakan jawatan Nik Nazmi Nik Ahmad dan Datuk Seri Rafizi Ramli, masing-masing selepas tewas dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi jawatan Naib Presiden dan Timbalan Presiden.
Perdana Menteri sebelum ini menjelaskan bahawa pelantikan Johari dan Amir Hamzah bukan kerana kekurangan calon, sebaliknya hanya bersifat sementara sehingga pelantikan baharu dilakukan secara rasmi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pertemuan antara Perdana Menteri bersama beberapa Menteri dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang berlangsung malam tadi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, Johari mengesahkan bahawa beliau tidak hadir.
“Saya tidak berada di sana, saya sudah pun berada di Kuantan untuk satu program,” jawab beliau ringkas.