
Sekretariat Solidariti Zara telah menyediakan sebuah memorandum bertajuk “Gerakan Mahasiswa & Masyarakat Sivil Berhubung Kes Buli dan Kematian Zara Qairina”, yang menuntut siasatan menyeluruh, telus dan tindakan tegas berhubung insiden buli yang mengorbankan pelajar itu.
Memorandum itu menyerlahkan apa yang didakwa sebagai kegagalan sistemik dalam melindungi pelajar dan kelemahan dalam tindak balas pihak berkuasa.
Menurut memorandum, kematian Zara Qairina akibat buli telah mengejutkan dan mencetuskan kemarahan rakyat. Peristiwa berkenaan bukanlah kejadian terpencil, sebaliknya mencerminkan kelemahan berterusan melibatkan kecuaian di peringkat sekolah, kelemahan pentadbiran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), serta kelompongan dan kekurangan keberkesanan siasatan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Memorandum itu juga menegaskan bahawa terdapat bukti kelewatan dan kecuaian pihak sekolah dalam mengambil tindakan sewajarnya walaupun laporan telah dibuat. Ia menambah bahawa pelbagai kes buli sebelum ini kerap berakhir dengan kenyataan sementara tanpa reformasi dasar yang konkrit, menunjukkan wujudnya kekurangan serius dalam polisi, prosedur operasi standard (SOP) dan pelaksanaan undang-undang yang sepatutnya melindungi pelajar.
Tuntutan Utama
Memorandum tersebut menggariskan tuntutan spesifik kepada dua entiti utama:
A. Kepada sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM):
- Menggantung serta-merta semua pegawai pendidikan, pentadbir sekolah dan pendidik yang didapati terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menutup aduan, mengabaikan laporan atau melengah-lengahkan tindakan terhadap kes buli sehingga siasatan selesai sepenuhnya.
- Melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan kebangsaan, khususnya berkaitan isu buli.
- Mengadakan sesi libat urus bersama gerakan mahasiswa dan masyarakat sivil bagi merangka SOP yang jelas dan tegas terhadap kes buli.
- Mewajibkan latihan mandatori dan berkala kepada semua guru, pentadbir dan warden mengenai intervensi krisis, pengurusan emosi pelajar serta tatacara profesional pengendalian aduan yang berpihak kepada mangsa.
- Memberikan penjelasan terbuka kepada masyarakat mengenai langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh pihak sekolah.
B. Kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM):
- Memberikan perkembangan siasatan secara berkala dan telus kepada masyarakat.
- Menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Bebas Nasional bagi menyiasat kematian Zara Qairina serta semua kes buli yang melibatkan pelajar dalam tempoh 10 tahun terakhir; hasil siasatan mesti dibentangkan secara terbuka kepada rakyat.
- Melaksanakan siasatan terbuka terhadap semua individu yang terlibat, termasuk mereka yang mempunyai kaitan dengan pihak berkepentingan politik atau ekonomi, dan memastikan undang-undang dikuatkuasakan secara adil tanpa pengecualian.
- Memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat atas ketempangan dan kelewatan siasatan.
- Menyediakan latihan khusus kepada anggota polis bagi mengendalikan siasatan kes buli secara sensitif, berkesan dan berpihak kepada mangsa.
- Menjamin perlindungan penuh kepada saksi dan tertuduh, sambil memastikan keluarga mangsa menerima layanan penuh hormat, sokongan psikososial berterusan serta perlindungan daripada sebarang tindakan atau komen yang boleh menambah trauma, termasuk penyebaran video atau komen menghina di platform awam.
- Melaksanakan inkues bagi mengenal pasti sebab-sebab kematian, termasuk meneliti kemungkinan unsur jenayah.
Penegasan dan Penutup
Memorandum itu menegaskan bahawa nyawa yang terkorban akibat buli sudah terlalu banyak, dan sebarang kelewatan tindakan bukan sahaja mencerminkan kelemahan pentadbiran tetapi juga pengkhianatan terhadap amanah untuk melindungi keselamatan pelajar. Ia menekankan bahawa reformasi menyeluruh bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan mendesak yang mesti dilaksanakan tanpa penangguhan.
Sebagai penutup, memorandum ini digambarkan sebagai suara solidariti rakyat yang menuntut keadilan untuk Zara Qairina dan semua mangsa buli di Malaysia. Sekiranya tuntutan tidak dipenuhi, pihak penyedia memorandum menyatakan akan menggerakkan tindakan susulan secara aman dan sah di sisi undang-undang, termasuk mobilisasi rakyat di seluruh negara. Memorandum menegaskan prinsip: “Keadilan untuk seorang mangsa adalah keadilan untuk semua.”