
“Menteri Pendidikan tidak perlu bersikap defensif berhubung kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Papar, Zara Qairina Mahathir,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.
Perkara itu ditekankan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam ketika beliau membangkitkan isu buli terhadap Zara Qairina sewaktu membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
“Seperti yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, komitmen telah diberikan untuk menjalankan siasatan yang adil dan telus. Saya berharap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, tidak perlu bersikap defensif kerana isu ini berkaitan keselamatan asas anak-anak di sekolah,” katanya.
Nik Nazmi menegaskan bahawa kerajaan tidak harus menuding jari kepada ibu bapa yang membuat spekulasi; sebaliknya perlu menunjukkan tindakan serius dan mengambil langkah yang meyakinkan bagi meredakan kebimbangan masyarakat.
Beliau turut menyatakan bahawa isu buli kini mendapat perhatian meluas dan menyeru agar wujud perubahan sistemik dalam pendidikan bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin. “Soal kemenjadian murid dan pencapaian akademik tidak akan bermakna jika keselamatan pelajar tidak dapat dijamin,” ujarnya.
Media melaporkan bahawa peguam keluarga Zara mengesahkan terdapat kecederaan pada tubuh remaja berusia 13 tahun itu, berdasarkan pemerhatian semasa proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI). Peguam keluarga, Shahlan Jufri, berkata beliau berada di bilik bedah siasat selama lapan jam tanpa makan dan minum untuk memerhati keseluruhan prosedur yang dijalankan oleh pasukan forensik.