
Pengendali resort dan kasino, Genting Singapore, melaporkan penurunan keuntungan sebanyak 34 peratus bagi separuh pertama tahun 2025, kepada S$234.7 juta, menurut pemfailan kawal selia yang diumumkan pada Khamis (7 Ogos).
Pendapatan kumpulan turut merosot 10 peratus kepada S$1.2 bilion, berbanding S$1.4 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Berdasarkan penyata kewangannya, penurunan hasil ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kemerosotan 12 peratus dalam pendapatan permainan (gaming revenue) kepada S$839.4 juta, serta kejatuhan 19 peratus dalam hasil bilik kepada S$98.4 juta.
Pendapatan sesaham (EPS) untuk enam bulan pertama adalah S$0.0194, menurun daripada S$0.0296 pada tahun sebelumnya.
Genting Singapore mengisytiharkan dividen interim sebanyak S$0.02 sesaham, sama seperti tahun lalu. Dividen tersebut akan dibayar pada 17 September.
Dalam mengulas prestasi syarikat, Genting menjelaskan bahawa walaupun keputusan suku pertama 2025 mencatatkan penurunan berbanding tahun lalu akibat ketiadaan lonjakan pelancong yang dipacu oleh pelonggaran visa pada 2024, kumpulan ini berjaya merekodkan peningkatan pendapatan sebanyak 3 peratus pada suku kedua kepada S$588.3 juta.
Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan jumlah pertaruhan VIP dan kadar kemenangan yang lebih tinggi, serta lonjakan kehadiran pelawat ke Universal Studios Singapore susulan pelancaran berjaya Illumination’s Minion Land pada Februari 2025.
Pendapatan Terlaras Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) bagi suku kedua mencatatkan S$187.9 juta, susut 7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Penurunan tersebut dikaitkan dengan peningkatan kos operasi dan penutupan sementara Sea Aquarium pada bulan Mei dan Jun bagi memberi laluan kepada pembukaan Singapore Oceanarium.
Genting menambah bahawa syarikat kini sedang melalui fasa transformasi dengan pertumbuhan yang stabil meskipun berdepan gangguan tidak dapat dielakkan susulan projek naik taraf Resorts World Sentosa (RWS) 2.0.
Walau bagaimanapun, Genting menegaskan bahawa projek penaiktarafan RWS telah mencatat kemajuan signifikan, termasuk kerja-kerja pengubahsuaian hartanah berskala besar, penstrukturan semula aset strategik, serta naik taraf infrastruktur bagi memperkukuh kedudukan RWS sebagai destinasi pelancongan dan gaya hidup premium.
Saham Genting Singapore ditutup pada harga S$0.755 pada Khamis, meningkat 0.7 peratus atau S$0.005, sebelum keputusan kewangan diumumkan.