
Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan pengharaman penjualan rokok elektronik (vape) seawal pertengahan 2026, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.
Dzulkefly berkata kementerian kekal komited untuk mengharamkan produk itu, tetapi pelaksanaan akan dilakukan secara berperingkat bagi memberi ruang kepada pertimbangan pelbagai faktor berkaitan.
“Saya berharap ia dapat dilaksanakan pertengahan 2026. Jika tidak, pada separuh kedua tahun depan. Tetapi perlu diingat terdapat banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan. Bagaimanapun, kita (KKM) tetap mahu mengharamkan penjualan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Induk Nasional Tingkah Laku dalam Kesihatan di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa KKM sedang merangka Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenai pengharaman rokok elektronik bagi memastikan pelaksanaan dirancang secara intensif dan menyeluruh. Menurutnya, pelaksanaan itu dijangka bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas ke semua jenis vape sehingga merangkumi keseluruhan produk.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata KKM akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri agar penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diperluaskan kepada produk buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai usaha menggalakkan tabiat pemakanan sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Ini boleh menjadi sebahagian daripada strategi dorongan kerana kita tahu ada kelompok umur tertentu yang kurang gemar makan sayur-sayuran dan buah-buahan,” katanya.
Kini, penerima SARA boleh menebus barangan keperluan asas daripada 14 kategori produk termasuk beras, roti, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, produk kebersihan diri, barangan kebersihan, kelengkapan rumah, ubat-ubatan dan barangan persekolahan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.